PASIR PUTEH: Seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai nelayan dicekup dalam operasi di lima jeti pelabuhan bot laut dalam di Tok Bali di sini hari ini.
Ops Bersepadu selama empat jam itu dijalankan oleh Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan dengan kerjasama dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, PATI yang ditahan itu melibatkan seramai 13 lelaki bersama dua wanita warga Myanmar, 11 lelaki Vietnam, tujuh lelaki Thailand dan masing-masing dua lelaki Laos serta Kemboja.
Menurutnya, seramai 262 warga asing yang kebanyakannya merupakan nelayan berlabuh di jeti Kampung Pak Mayong dan Gong Kulim di sini di periksa menerusi operasi tersebut.
“Kesemua 37 PATI yang ditahan berusia dalam lingkungan 21 hingga 52 tahun didapati tiada dokumen pengenalan sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal lebih masa.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, ada warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja di atas bot nelayan,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, serbuan secara serentak dilakukan di lima pelabuhan bagi menggelak warga asing menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
Katanya, APMM Kelantan turut mengerakkan lima aset bot peronda dengan membuat kepungan dari sungai sekitar kawasan jeti bagi mengelak warga asing terjun untuk meloloskan diri.
“Semua warga asing yang ditahan dibawa ke pejabat JIM untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan pihak AADK berjaya menahan lapan orang warga asing membabitkan enam warganegara Vietnam dan dua orang warganegara Thailand,” ujarnya.-UTUSAN