PADANG BESAR: Sebanyak 30 produk berasaskan mempelam harumanis dihasilkan oleh Athanliz Innovation Sdn. Bhd. (AISB) menjadi platform terbaik bagi memperkenalkan nama Perlis ke negara luar.
Buat masa ini, antara produk dihasilkan oleh syarikat pemula Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis itu adalah terdiri produk makanan, minuman dan nutri kosmetik.
Produk-produk inovasi itu juga telah berjaya menempa nama di pameran dan pertandingan antarabangsa antaranya seperti festival makanan di Paris, Perancis, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Pakistan, Thailand dan China.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, menerusi inovasi dilakukan itu, buah mempelam harumanis yang sememangnya ikonik dengan negeri ini akan dapat dimanfaatkan secara menyeluruh tanpa pembaziran.
Katanya, produk-produk yang dihasilkan syarikat tersebut akan menggunakan semua bahagian buah itu meliputi isi, biji dan kulit dengan berkonsepkan sisa sifar (zero waste).
“Langkah ini membolehkan semua bahagian pada buah itu dimanfaatkan sebaiknya untuk dijadikan produk sekali gus dapat dipasarkan ke seluruh negara termasuk negara luar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Produk: Kuih Raya Edisi Harumanis di Pusat Agro Pelancongan Bukit Temiang di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad dan Pengarah Urusan Athanliz Innovation Sdn Bhd (AISB), Dr. Athifah Najwani Shahidan.
Mohd. Shukri berkata, produk baharu syarikat itu terdiri daripada kuih raya berasaskan harumanis juga telah berjaya mendapat tempahan dan pasaran seluruh negara.
“Untuk pemasaran kuih ini secara lebih meluas, AISB juga menjalinkan kerjasama dengan Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-China-Acheh,” katanya.
Mohd. Shukri berkata, penghasilan inovasi kuih raya itu juga adalah merupakan hasil kerjasama dengan beberapa usahawan negeri ini dalam agenda mengkomersialkan produk komuniti.
Katanya, kerjasama yang dijalinkan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para usahawan namun juga buat ekonomi negeri selain untuk agro pelancongan.
“Penghasilan produk harumanis melalui penyelidikan universiti ini mampu menghasilkan produk yang berkualiti selain menjana peluang ekonomi dan meningkatkan pendapatan usahawan kecil di Perlis,” katanya.-UTUSAN