PUTRAJAYA: Lawatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) ke Arab Saudi pada November 2015 bagi mengesahkan RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah derma telah bertukar menjadi sesi `cut and paste’, makan-makan sebelum pulang ke Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai penyiasat asal kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA), Mohd. Nasharudin Amir, 53.
Pada perbicaraan sebelum ini, Pegawai Kanan Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Fikri Ab. Rahim memberitahu mahkamah, rombongan SPRM dan AGC turut menerima layanan sebagai tetamu negara Arab Saudi, ditempatkan di hotel sangat mewah dan berpeluang menunaikan umrah dengan segala kelengkapan disediakan oleh Arab Saudi.
Pada prosiding hari ini, Mohd. Nasharudin, 53, memberitahu berdasarkan prosiding rakaman percakapan yang dilakukan, dia mengakui tidak berpuas bahawa surat derma Arab yang diterima oleh Najib adalah tulen.
Saksi pembelaan ke-10 itu turut memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak berpuas hati `pak Arab’ yang ditemui pada November 2015, adalah Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud (putera Saud).
Dia juga tidak berpuas hati bahawa wang berjumlah RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib adalah derma yang datangnya daripada Putera Saud itu.
Selain itu, saksi itu turut bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika disoal balas bahawa lawatan lawatan ke Arab Saudi oleh SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebenarnya adalah untuk kerja-kerja `cut and paste’.
Mohd. Nasharudin merupakan antara lima individu daripada SPRM dan Jabatan Peguam Negara yang pergi ke Arab Saudi antara 27 hingga 29 November 2015 untuk menemu ramah Putera Arab, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud (Putera Saud), individu yang dikatakan menandatangani surat derma Arab Saudi kepada Najib.
Selain Fikri, turut serta dalam rombongan itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, pegawai perakam, (Datuk) Mohd. Hafaz Nazar (kini Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) serta Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili AGC.
Mohd. Nasarudin adalah pegawai penyiasat asal penyiasatan kes penyelewengan dana itu yang bermula pada 2015 sebelum beliau digantikan dengan saksi pendakwaan ke-49, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan, Nur Aida Ariffin pada 14 Mei 2018.
Ahmad Akram: Sebagai pegawai penyiasat, awak tidak berpuas hati dengan rakaman percakapan untuk mengatakan bahawa surat-surat derma itu adalah sahih.
Mohd. Nasharudin: Ya.
Ahmad Akram: Sebagai pegawai penyiasat, awak tidak berpuas hati bahawa duit yang masuk ke dalam akaun Datuk Seri Najib datangnya daripada individu (Putera Saud) yang awak rakam percakapannya?
Mohd. Nasharudin: Ya.
Ahmad Akram: Setuju bahawa daripada mula sehingga habis lawatan, ianya telah dirancang, awak cuma ke sama untuk lengkapkan cerita, tak perlu tanya apa-apa, pergi, makan dan balik.
Mohd. Nasharudin: Ya.
Terdahulu, Mohd. Nasharudin memberitahu, ketika di sampai ke `rumah besar’ yang kemudiannya diketahui sebagai Istana Raja Abdullah, dia melihat ada tiga individu yang dikatakan putera Arab.
Bagaimanapun dia tidak mengetahui siapa identiti tiga `putera’ itu kerana tidak pernah melihat mereka sebelum ini, tidak pernah membuat sebarang pengecaman (profiling) dan tidak pernah ditunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri termasuk pasport Putera Saud.
Pada perbicaraan sebelum ini, Fikri memberitahu mahkamah bahawa pada pertemuan di Istana Raja Abdullah, kesemua wakil SPRM dan AGC ditunjukkan pasport diplomatik Putera Saud termasuk Mohd. Nasharudin selama 30 minit.
Fikri turut memberitahu mahkamah beliau mengenali individu yang ditemui di istana berkenaan ialah Puteri Turki (salah seorang Putera Arab yang dikatakan memasukan wang ke dalam akun Najib) kerana telah dibuat pengecaman (profiling) oleh Mohd. Nasharudin.
Ahmad Akram: Sebagai pegawai penyiasat, adakah awak berpuas hati bahawa individu yang awak rakam percakapannya ialah Putera Saud.
Mohd. Nasharudin: Tidak puas hati.
Ahmad Akram: Sepanjang Abdullah Al-Koman (wakil yang beri keterangan bagi pihak Putera Saud) beri keterangan, Putera Saud tidak berada dalam bilik (rakaman)?
Mohd. Nasharudin: Ya.
Ahmad Akram: Setuju dokumen rakaman percakapan yang disediakan ini, telah disediakan lebih awal dan tugas awak hanyalah untuk `cut and paste’ ke dalam format SPRM.
Mohd. Nasharudin: Ya.
Ahmad Akram: Setuju dokumen rakaman percakapan Tan Kim Loong (sekutu ahli perniagaan, Low Taek Jho) juga adalah `cut and paste’?
Mohd. Nasharudin: Ya.
Ahmad Akram: Setuju bahawa tiada pun sebarang soal jawab berlaku, tiada soalan tambahan dikemukakan kecuali yang dilakukan ialah `cut and paste’?
Mohd. Nasharudin: Ya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 24 Februari ini.