KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) merampas 13,000 karton sarung tangan getah yang tidak menepati spesifikasi serta sarung tangan getah sekerap dianggarkan bernilai RM346,000 dalam satu serbuan terhadap sebuah premis di Klang, Selangor, Khamis lalu.
Serbuan tersebut dijalankan menerusi operasi bersepadu oleh Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) LGM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
Menurut kenyataan LGM hari ini, premis yang terletak di Kapar itu dipercayai menjalankan kegiatan membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang tidak berkualiti (rejected glove) serta sarung tangan getah sekerap tanpa permit sah daripada LGM.
“Premis itu turut dikesan menyalahgunakan tanda bungkusan dengan mencetak label ‘Made in Malaysia’ (Buatan Malaysia) pada kotak bagi sarung tangan getah yang sebenarnya bukan dihasilkan di negara ini atau diperoleh dari sumber import.
“Aktiviti ini merupakan satu kesalahan mengikut Peraturan 22(1)(b) dan 58 Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014.
“Jika didapati bersalah, pihak yang terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM80,000 atau penjara dua hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, LGM merampas sebanyak 196 palet berisi sarung tangan getah sekerap dengan anggaran 13,000 karton serta beberapa sitaan lain yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM346,000.
Jelasnya,siasatan awal mendapati bahawa produk yang dirampas dipercayai diperoleh dari luar negara dan dirancang untuk dipasarkan semula ke pasaran tempatan tanpa mendapatkan permit sah daripada LGM.
“LGM kini giat menjalankan operasi bersepadu bagi mengawal selia keseluruhan rantaian industri getah negara, khususnya dalam usaha membanteras aktiviti haram membabitkan premis sarung tangan getah serta penyalahgunaan tanda bungkusan ‘Buatan Malaysia’ demi menjaga imej industri getah negara.
“Sehubungan itu, orang awam dialu-alukan untuk membuat sebarang aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan dalam industri getah kepada LGM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di pautan https://lgm.spab.gov.my/eApps/system/index.do,” katanya.