KUALA LUMPUR: Kawasan sektor-sektor strategik diberikan keutamaan dalam perluasan liputan rangkaian 5G di negara untuk memberikan manfaat maksimum.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya telah mengenal pasti lebih 67 kawasan zon perindustrian yang akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan rangkaian 5G.
“Fokus kita adalah kawasan yang boleh menerima manfaat terbesar seperti zon-zon perindustrian.
“Ini akan membantu syarikat-syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kilang-kilang untuk memanfaatkan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan Big Data yang memerlukan internet berkelajuan tinggi dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media selepas menyampaikan bantuan perayaan kepada lebih 700 keluarga menerusi program Sumbangan Tahun Baru Cina di Pasar Pagi Taman Seri Sentosa, di sini hari ini.
Semalam, Fahmi dilaporkan berkata, kadar liputan rangkaian 5G di negara ini telah berjaya mencapai 82.4 peratus dalam kawasan berpenduduk setakat Disember tahun lalu.
Katanya, perkembangan tersebut menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia yang memperluas akses komunikasi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Fahmi berkata, keutamaan diberikan kepada sektor perindustrian kerana teknologi 5G mampu menyokong pembangunan ekosistem digital, meningkatkan kecekapan operasi dan mendorong inovasi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan rangkaian 5G akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Industri Keempat (MED4IR) yang dijadualkan berlangsung pada 12 Februari depan.
“Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan kita akan bincang termasuk mengenai pelaksanaan rangkaian 5G.
“Sama ada yang pertama di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) ataupun yang kedua di bawah U-Mobile,” katanya. – UTUSAN