SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan untuk membantu sebanyak 94,000 keluarga asnaf, fakir dan miskin serta membantu meningkatkan taraf hidup 4,500 individu pada tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, beliau yakin sasaran itu dapat diperoleh berdasarkan prestasi yang dicapai institusi berkenaan pada tahun ini.
“Alhamdulillah, kami berjaya mengekalkan momentum itu dan 2024 menjadi tahun yang benar-benar luar biasa bagi kami di Zakat Selangor.
“Kami menyokong hampir 80,000 keluarga asnaf dan lebih 5,000 individu mualaf, termasuk 13,000 keluarga baharu di Selangor untuk disantuni zakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah, yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
Beliau mendedahkan, lebih 4,000 penerima zakat telah melepasi haddul kifayah dan berjaya keluar daripada keluarga asnaf.
“Itu adalah bukti keberkesanan usaha kami melalui pelbagai program pembangunan yang telah disediakan untuk golongan asnaf termasuk pembangunan diri, keusahawanan, kerjaya dan pendidikan peringkat pengajian tinggi,” jelasnya.
Syed Anwar turut mengulas operasi LZS di Menara Zakat Sultan Idris Shah yang menjadi ibu pejabat baharu badan baitulmal itu, ia direka khas untuk memenuhi keperluan penerima zakat dan muzzaki dengan kemampuan menerima lebih 100 pelawat setiap hari.
“Keputusan untuk beroperasi di menara tersebut bagi memperbaiki pengurusan operasi dan memastikan penyampaian perkhidmatan institusi itu lebih berkualiti.
“Ia bukan semata-mata memiliki sebuah bangunan. Tetapi satu keperluan penting bagi memastikan kami terus memenuhi keperluan asnaf dan muzakki yang semakin meningkat,” ujarnya. – UTUSAN