KUALA LANGAT: Yayasan Keluarga Malaysia menaikkan bantuan keseluruhan kepada penerima bagi dua kategori iaitu RM2,400 dan RM3,400 yang dibayar secara bulanan sebanyak RM200 dan RM250.
Bayaran tersebut akan dikreditkan pada tarikh 30 setiap bulan. Malah, sempena perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu hadapan, bantuan khas diberikan yayasan itu kepada 16 penerima berketurunan Cina sebanyak RM300 bermula hari ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini hampir 1,000 penerima menerima manfaat bantuan daripada yayasan dan angkanya semakin bertambah.
“Selain daripada sumbangan khas perayaan, kita memberikan sumbangan bulanan, kita akan kreditkan ke dalam akaun mereka, untuk yang 16 tahun ke bawah akan mendapat RM200 sebulan, manakalah 16 tahun ke atas akan dapat RM250 sebulan.
“Jadi, saya menyeru kepada anak yang kehilangan ibu, bapa atau kedua-dua sekali sewaktu Covid-19 supaya mendaftar dengan Yayasan Keluarga Malaysia, kalau tidak kita…mustahil untuk tahu.
“Macam di Kelantan misalnya pada bulan lalu kita dapat tahu daripada TikTok dan kita pergi siasat dan mendapati memang bapa anak-anak itu meninggal kerana Covid-19 dan kita berikan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada ibu tunggal, Na Ai Tin yang kehilangan suami pada Ogos 2021.
Jelas beliau, Bantuan Kasih merangkumi dua kategori umur iaitu Kategori A (sejak lahir sehingga 15 tahun) menerima sebanyak RM200 sebulan dan Kategori B (berusia 16 tahun sehingga tamat Ijazah Sarjana Muda Pertama akan menerima RM250 sebulan.
“Bantuan diberi sehingga mereka berusia 18 tahun, tetapi jika mereka meneruskan pengajian kita akan terus memberi bantuan dan menanggung yuran pengajiannya,” jelasnya.
Tambah Ismail Sabri, beliau memaklumkan kerajaan sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi membantu keluarga yang terjejas akibat Covid-19.
Sementara itu, Ai Tin, 43, ketika ditemui memberitahu teruja menerima kehadiran Ismail Sabri yang merupakan bekas Perdana Menteri Ke-9 yang hadir menyerahkan sendiri sumbangan tersebut dekat rumahnya, di Jenjarom.
“Suami saya meninggal dunia akibat Covid-19, sejak itu saya menjadi penanggung kepada dua anak berusia 14 dan 17 tahun yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom dengan pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan sebagai pembantu kedai buah.
“Saya gembira dan bersyukur kerana anak-anak dapat sumbangan daripada Yayasan Keluarga Malaysia dan boleh mereka gunakan untuk perbelanjaan sekolah,” ujarnya. – UTUSAN