WCE siap 95 peratus, Seksyen 2 dibuka tengah malam ini

WCE siap 95 peratus, Seksyen 2 dibuka tengah malam ini

WCE
ALEXANDER Nanta Linggi bergambar dengan Lyndon Alfred Felix (tiga, kiri) bersama tetamu lain pada Majlis Pembukaan Seksyen 2 dekat Persimpangan Bertingkat SAE, Lebuhraya WCE, di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Barat (WCE) kini mencapai 95 peratus melibatkan pembukaan Seksyen 2 yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas) bermula tengah malam ini.

Pembukaan tersebut melibatkan akses kepada jajaran berkenaan sepanjang 7.2 kilometer (km) sekali gus memudahkan perjalanan dari pusat bandar ini ke Banting sepanjang 18.2 km.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dengan pembukaan seksyen baharu itu, tempoh masa perjalanan menjadi pendek iaitu 25 minit berbanding sejam di laluan alternatif kepada laluan di Jalan Klang – Banting yang sering berdepan kesesakan kerana berdekatan kawasan perumahan, komersial dan perindustrian.

Menurutnya, laluan baharu lebuh raya itu akan dibuka kepada umum bermula pukul 12.01 tengah malam ini dan menjangkakan peningkatan sehingga 20,000 pengguna terutama menjelang Sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ia juga membawa manfaat lebih besar, bukan hanya untuk menghubungkan SKVE ke Kesas, malah ia menjadi ‘jalan kehidupan’ yang membuka peluang baharu kepada masyarakat di sepanjang koridor Pantai Barat iaitu akses kepada kawasan Banting, Telok Panglima Garang, Pulau Indan dan Bandar Botanik.

“WCE bukan sekadar projek infrastruktur untuk pembangunan negara, tetapi juga sebagai simbol aspirasi negara sebagai sebuah negara progresif, selaras dengan aspirasi membangun Malaysia Madani,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan merasmikan pembukaan Seksyen 2 WCE di Plaza Tol Persimpangan Bertingkat SAE, hari ini.

Tambahnya, beliau turut mengumumkan tol percuma di laluan tersebut selama sebulan bermula pembukaannya pada pukul 12.01 tengah malam ini sehingga 21 Februari depan yang melibatkan kadar tol kira-kira RM1.18 hingga RM3.50 mengikut mengikut kelas kenderaan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pembukaan Seksyen 1 WCE yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Banting dengan SKVE sepanjang 11 km.

Jelas Alexander, terdapat tiga lagi seksyen WCE di negeri ini belum dibuka dan Seksyen 3 dijangka akan dibuka seawal pertengahan tahun hadapan.

“Di bahagian Perak semuanya sudah siap. Seksyen 3 (selepas SAE) dijangka siap ada pertengahan 2026 dan kita akan cuba percepatkan. WCE turut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, pelancongan, dan perdagangan serantau.

“Pembukaan jajaran itu akan menjadi pelengkap kepada Pelabuhan Klang sebagai hab logistik terbesar di Asia Tenggara dengan akses yang kini semakin mudah dan cepat. Laluan itu akan membantu mengurangkan kos operasi sektor logistik, mempermudah penghantaran barangan dan seterusnya meningkatkan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan WCE Lyndon Alfred Felix memaklumkan lebuh raya itu akan dilengkapi kemudahan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Assam Jawa, Trong dan Taiping selatan, merupakan yang pertama di lebuh raya di negara ini.

Bagi Sambutan Tahun Baharu Cina pada minggu depan, beliau menjangkakan peningkatan sehingga 150,000 pengguna dalam masa sehari akan menggunakan WCE bagi perjalanan dari Pantai Barat Selangor ke Perak dan seterusnya bahagian Utara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN