WCB berjaya rampas besi dan logam tidak sah lebih RM113 juta

WCB berjaya rampas besi dan logam tidak sah lebih RM113 juta

ANTARA barang rampasan yang dirampas sewaktu operasi Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) bersama Pasukan Perisikan Siasatan Khas (PSK) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) bersama Pasukan Perisikan Siasatan Khas (PSK) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), mencatatkan kejayaan besar melalui operasi khas memerangi penyeludupan besi dan logam. 

Operasi bersepadu yang dilaksanakan di beberapa premis sekitar Selangor dan Kuala Lumpur telah menyaksikan rampasan bernilai lebih RM113 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen WCB bersama agensi lain dalam melindungi keselamatan dan hasil negara daripada ancaman ekonomi haram.

Menurutnya, dalam operasi yang dijalankan, pemeriksaan dilakukan terhadap tujuh premis syarikat yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pembekalan besi serta logam yang tidak sah. 

“Hasil siasatan mendapati premis-premis tersebut gagal mengemukakan Dokumen Perakuan Pematuhan Standard (PPS) bagi produk yang diimport, sekali gus melanggar peraturan yang ditetapkan oleh CIDB dan agensi penguatkuasaan lain.

“Sebanyak 8,939 tan besi dan keluli industri, lebih 13,000 keping truss/c-channel, 25,000 batang komponen pembinaan serta pelbagai jenis mesin industri dan dokumen perniagaan disita,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, rampasan lain termasuk dua kren ‘overhead’, 12 forklift dan lima kontena dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM113,857,167. 

Jelasnya, operasi berkenaan turut menyaksikan penahanan tiga warga tempatan dan tiga warga asing berusia antara 33 dan 50 tahun. 

“Mereka disyaki berperanan sebagai pemilik syarikat, pengurus kilang serta pekerja yang diambil tanpa dokumen sah.

“Kes tersebut sedang disiasat mengikut pelbagai akta termasuk Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” ujarnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti penyeludupan dan penggunaan produk tidak sah dalam sektor pembinaan boleh mengancam keselamatan awam serta mencetuskan kerugian besar kepada ekonomi negara.

Dalam perkembangan lain, bagi tempoh 1 Januari hingga 17 Januari lalu, WCB/PSK telah melancarkan 37 serbuan di seluruh negara, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM116,400,829.

“Kejayaan itu sekali lagi menonjolkan keupayaan pihak berkuasa Malaysia dalam menangani jenayah yang melibatkan ketirisan barangan kawalan dan aktiviti penyeludupan,” katanya. 

Tambah Azmi, kejayaan itu menunjukkan kesungguhan PDRM dan WCB dalam memastikan aktiviti penyeludupan yang menjejaskan kualiti produk industri pembinaan serta keselamatan awam dapat dibanteras sepenuhnya. 

“Rampasan yang dilakukan bukan sahaja melibatkan barangan bernilai tinggi tetapi juga memastikan sektor pembinaan di Malaysia mematuhi standard piawaian yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya