SHAH ALAM: Industri teksi di negeri ini terus berdepan sambutan ‘suam-suam kuku’ daripada pengguna yang kebanyakannya beralih kepada perkhidmatan e-hailing sejak 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, sektor tersebut masih dipertahankan pemandu yang rata-ratanya warga emas walaupun terpaksa berdepan tekanan pendapatan yang merosot dan saingan dengan perkhidmatan e-hailing.
Menurut pemandu teksi Adnan Abdul Rahman, 72, dia meneruskan kerjayanya walaupun pendapatan berkurangan lebih 50 peratus kerana yakin masih ada permintaan meskipunn ia tidak semeriah dahulu.
“Secara purata saya hanya mampu memperoleh pendapatan kasar sekitar RM50 sehari, iaitu bersamaan lima penghantaran pelanggan. Saya pernah dapat hanya RM10 sehari.
“Pening juga kepala, tetapi bernasib baik kerana pendapatan itu saya gunakan sepenuhnya untuk diri sendiri. Semua anak sudah bekerja dan saya tinggal seorang diri. Cuma, kalau dapat jumlah itu, memang saya kena makan sedikit sahaja pada hari itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dia yang sudah lebih 20 tahun bergelumang dalam industri itu menambah, menjadi pemandu teksi sahaja yang mampu dilakukannya ketika ini memandangkan tidak mampu membuat pekerjaan lain disebabkan sudah lanjut usia.
“Kadang-kadang ada permintaan untuk menghantar pelanggan ke tempat yang jauh. Macam bulan lepas, ada pelanggan minta hantar ke Kuala Selangor dan saya hanya caj RM60 sahaja padanya.
“Tidak boleh caj mahal kerana takut pelanggan lari. Jadi, terpaksa main harga juga,” ujarnya berasal dari Meru, Klang.
Sementara itu, seorang lagi pemandu, Solehan Suratman, 63, memaklumkan, dia memilih untuk kekal memandu teksi berbanding menjadi pemandu e-hailing kerana tidak lagi mampu ‘mengejar trip’ seperti zaman muda.
“Kalau dekat-dekat hari pemeriksaan kereta, saya akan habiskan RM600 untuk tukar tayar, minyak hitam dan brek. Perbelanjaan itu hanya setahun sekali.
“Tetapi kalau kos penyelenggaran, saya habis lebih RM100 sahaja. Lagipun, itu kereta saya sendiri, tidak perlu bayar sewa kepada mana-mana syarikat pun,” ujarnya yang sudah menjadi pemandu teksi lebih 10 tahun lalu.
Tambahnya lagi, dia meletakkan harapan supaya kerajaan dapat memberikan bantuan subsidi petrol kepada pemandu teksi, bagi mengurangkan kos operasinya setiap hari. – UTUSAN