KOTA TINGGI: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya bayi berusia sembilan bulan sehingga membawa kepada kematiannya di Mersing bulan lalu.
Tertuduh, Chia Muy Hoong, 61 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Mengikut pertuduhan, Muy Hoong sebagai seorang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang bayi lelaki berumur sembilan bulan dengan menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang kiri kepala sehingga membawa kepada kematian dan didakwa dilakukan di sebuah rumah Jalan terletak di Taman Intan Jaya, Mersing antara 6 Disember hingga 12 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid mencadangkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu lapor diri di Balai Polis dan larangan mengganggu mana-mana saksi terutama keluarga mangsa.
Bagaimanapun peguam bela tertuduh, Law Siew Tin memohon anak guamnya dibenarkan jamin dengan jumlah yang rendah kerana tertuduh merupakan menanggung keluarga dan menjaga suami yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, lapor diri sekali setiap bulan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mersing dan dilarang mengganggu mana-mana saksi terutama keluarga mangsa dan menetapkan tarikh 24 Februari depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN