KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan yang terkunci di Jalan Bukit Temasu, Taman Sinar, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, warga emas berusia 69 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan yang terkunci kira-kira pukul 10 pagi.
Beliau berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu, sepasukan empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari BBP Lintas.
“Pasukam bomba kemudian bertindak membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi ditamatkan pada pukul 10.22 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Ini adalah kejadian kedua lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kenderaan dalam tempoh tiga minggu ini.
Pada 21 Disember tahun lalu, seorang lelaki berusia 55 tahun turut ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan di Kuantan selepas dilaporkan hilang sejak 13 Disember ketika keluar mengambil ubat di sebuah klinik kesihatan.
Sebelum itu, pada 10 Disember, mayat seorang lelaki warga asing ditemukan dalam sebuah bagasi diletakkan dihadapan sebuah kenderaan di kawasan perumahan Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang di Kuala Lumpur.
Mayat lelaki dipercayai berusia 20-an itu ditemukan dalam keadaan sempurna kecuali patah pada bahagian hidung. – UTUSAN