SEREMBAN: Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler rosak yang berhenti di lorong paling kiri dalam kejadian di Kilometer 282.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke selatan, dekat Nilai di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 4.20 pagi dan siasatan awal mendapati sebuah treler jenis Sinotruk tanpa muatan berkenan dipandu oleh seorang lelaki berumur 34 tahun dalam perjalanan dari Port Klang menghala ke Melaka.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, treler tersebut telah mengalami kerosakan lalu berhenti di lorong paling kiri. Tiba- tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 40 tahun telah melanggar bahagian belakang sisi kanan treler tersebut.
“Akibat kemalangan, pemandu kereta mengalami kecederaan parah di kepala sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Penumpang kereta seorang wanita berumur 35 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya hari ini
Jelas beliau, hubungan antara mangsa belum lagi diketahui dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN