Vivy, suami didakwa lagi

Vivy, suami didakwa lagi

PENGASAS FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes berkaitan pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta. UTUSAN/M.FIRDAUS M.JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan didakwa bagi tuduhan pecah amanah, pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar hari ini didakwa lagi untuk pertuduhan menyalahgunakan dana pelaburan berjumah RM8 juta, tujuh tahun lalu.

Dana pelaburan itu daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 Ogos 2018 di Public Bank Berhad cawangan Bukit Damansara, Bukit Damansara di sini.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah memohon mahkamah mengguna pakai jumlah jaminan yang sama seperti prosiding sebelum ini iaitu sebanyak RM100,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara tempatan.

“Saya mohon satu tarikh sebutan bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan baki dokumen berkaitan kes ini kepada pihak pembelaan,” katanya.

Peguam bela, Ashok Athimulan yang mewakili kedua-kedua tertuduh tidak membantah cadangan berhubung jaminan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan yang sama diguna pakai dan menetapkan 10 Mac hadapan untuk pengurusan kes.

Pada 5 Disember lalu, Vivy dan Fadzarudin mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB yang sama.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat melakukan pemindahan dana pelaburan Khazanah dan PNB sebanyak RM8 juta dari akaun bank FashionValet kepada svarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah platform e-dagang berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Ashok yang mewakili pasangan itu pada prosiding lalu memohon pengurangan jaminan atas alasan anak guamnya mengalami kekangan kewangan selepas harta tertuduh dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM, Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN