KLANG: Tokoh konglomerat, Tan Sri Vincent Tan menyerahkan sumbangan peribadi berjumlah RM250,000 kepada sekolah, rumah berhala, persatuan penganut Buddha di Pulau Ketam, hari ini.
Penerimanya adalah Lembaga Pengurus Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Lien yang menerima RM100,000, Lembaga Pengurus Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Keng Chee dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Ketam (masing-masing terima RM50,000).
Turut menerima sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Vincent iaitu Persatuan Pengurusan Rumah Berhala Tai Shiang Lau Kun, Persatuan Penganut Dewi Neo Neo, Persatuan Rumah Berhala Hock Leng Keng, Persatuan Penganut Dewa Tat Mon Sen Fah Si dan Jawatankuasa Pembinaan Rumah Berhala Nan Thiang Keng.
Beliau berkata, sumbangan itu diberikan ketika pertama kali datang ke pulau tersebut.
“Sumbangan itu diharap dapat membantu kesemua penerima untuk memperbaiki sebarang kerosakan terhadap infrastruktur milik mereka. Ini kali pertama saya sekeluarga melawat Pulau Ketam menerusi jemputan oleh rakan dan juga ahli perniagaan, Tan Sri Lim Kuang Sia yang berasal dari situ,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Vincent menambah, beliau melihat Pulau Ketam mempunyai potensi besar untuk dijadikan salah satu lokasi pelancongan menarik di Selangor, justeru beliau menyeru pihak swasta untuk bersama membangunkan pulau berkenaan supaya ia tampak lebih menarik.
Sementara itu, Pengetua SMK Pulau Ketam, Mohamed Nizam Banaji menzahirkan penghargaan atas sumbangan RM50,000 yang diberikan Vincent kepada PIBG sekolahnya.
“Sumbangan itu akan digunakan untuk membaiki laluan pejalan kaki ke kelas yang semakin uzur dan tidak dapat dibaiki sebelum ini kerana kekangan kewangan.
“Laluan yang dibina daripada kayu lebih 150 meter itu perlu segera dibaiki bagi mengelak mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya. – UTUSAN