JOHOR BAHRU: Sebuah video berdurasi 43 saat yang berunsur lucah dan didakwa melibatkan seorang ahli majlis yang berkhidmat di pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini tular dalam media sosial.
Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, video tersebut dibuat dan disebarkan dengan niat jahat untuk mencemar imej individu terbabit serta parti politik terlibat.
“Video itu dihantar kepada sebuah akhbar harian berbahasa Mandarin semalam dengan individu lelaki yang dipaparkan merupakan seorang lelaki keturunan Cina dipercayai ahli MCA.
“Berdasarkan video yang berbahasa Vietnam itu, persamaan antara individu dalam video dan ahli majlis yang didakwa hanyalah ketinggian dan tiada sebarang persamaan lain.
“Sehubungan itu, saya telah menasihatkan individu terbabit untuk membuat laporan polis kerana video berkenaan sudah mencemar imejnya, imej parti serta imej ahli majlis di negeri ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Tambah Tian Soon, pihaknya bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi sama ada penyebaran video lucah berkenaan merupakan satu usaha menjejaskan nama MCA.
Ketika ini terdapat seramai 126 Ahli Majlis yang sedang berkhidmat di pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berhubung perkara tersebut.