PUTRAJAYA: Usahawan desa disaran menguasai pelbagai platform digital bagi mengembangkan potensi pasaran produk masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam dunia perniagaan yang pantas berubah, usahawan desa tidak boleh sekadar bertahan tetapi perlu berani berkembang dan mendahului pasaran.
Justeru, katanya, usahawan desa mesti aktif di TikTok, Instagram, Facebook dan platform e-dagang lain seperti Shopee dan Lazada untuk terus bersaing di pasaran.
“Ia boleh diperkasakan lagi dengan penggunaan iklan digital dan automasi kecerdasan buatan (AI) yang mampu meningkatkan capaian pasaran dengan kos yang lebih rendah,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pemenang Rural Business Challenge (RBC) 2.0 2024, di sini malam tadi.
Katanya, usahawan desa juga perlu meningkatkan kemahiran dan ilmu perniagaan dan mencari mentor sesuai bagi akses kepada pengalaman lebih luas.
Ahmad Zahid berkata, usahawan desa juga disaran membangunkan kerjasama strategik dan tidak boleh bergerak sendirian.
“Sebaik-baiknya perlu bergabung dengan perniagaan lain yang saling melengkapi. Kolaborasi dengan syarikat tempatan atau antarabangsa boleh membantu menembusi pasaran baharu dan go global,” katanya.
Katanya, usahawan desa juga boleh menjadikan inovasi sebagai keutamaan bagi mencipta keunikan dan permintaan berterusan sekali gus membuka peluang untuk sertai ekspo dan pameran antarabangsa.
Mengulas mengenai program RBC 2.0, Ahmad Zahid berkata, program ini diperkenalkan sejak 2012 bertujuan mengangkat dan membimbing usahawan desa dari impian ke realiti perniagaan.
“Tahun ini, program itu menerima 1,737 penyertaan dari seluruh negara dimana 45 daripadanya terpilih untuk menerima geran masing-masing antara RM100,000 hingga RM1 juta,” katanya. – UTUSAN