UiTM sanggah dakwaan paksa siswa bukan Muslim

UiTM sanggah dakwaan paksa siswa bukan Muslim sertai program Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyanggah dakwaan universiti itu memaksa mahasiswa bukan Muslim menyertai program berkaitan Islam menerusi Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri Ke-20 pada 11 Januari lalu.

Program tersebut dianjurkan merupakan sebahagian daripada silibus kursus kokurikulum Kesatria Negara dan Kesatria Kembara yang dirancang untuk membentuk keseimbangan sahsiah, intelek dan spiritual mahasiswa.

UiTM dalam kenyataan berkata, seramai 2,447 mahasiswa menghadiri program dua hari satu malam itu dan terdapat slot khas disediakan bagi peserta bukan Islam iaitu Ceramah Etika Sosial sementara yang beragama Islam pula mengikuti ceramah pengurusan jenazah.

Menurutnya, program itu merangkumi elemen seperti disiplin, patriotisme, pertolongan cemas, rekreasi, dan nilai kerohanian bagi pelajar Muslim, manakala pelajar bukan Muslim didedahkan kepada ceramah yang sesuai dengan keperluan mereka.

“Mahasiswa Muslim mengikuti ceramah Pengurusan Jenazah (Muslim) di ruang utama Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di UiTM Shah Alam, manakala yang bukan Muslim pula menghadiri Ceramah Etika Sosial yang berlangsung selama dua jam di Dewan Muktamar.

“Ceramah Etika Sosial bertujuan memberi pemahaman tentang nilai etika dalam kehidupan bermasyarakat, termasuk di rumah, tempat kerja, dan ruang awam. Selepas sesi ceramah tamat, mahasiswa bukan Muslim menikmati minum petang sebelum dibenarkan pulang,” katanya, hari ini.

Jelasnya, tujuan utama program itu adalah membentuk individu dengan kesedaran sosial tinggi dan nilai sahsiah unggul.

Sementara penggunaan lokasi berhampiran seperti masjid dan Dewan Muktamar adalah untuk mempermudah pengurusan, menjimatkan masa, sumber logistik, serta memastikan peserta dapat mengikuti aktiviti secara teratur tanpa gangguan.

Terdahulu, tular satu hantaran daripada pengguna media sosial bernama ‘Preeta Samarasan’ yang mendakwa UiTM memaksa mahasiswa bumiputera dari Sabah dan Sarawak menghadiri program berkaitan Islam.

Malah, pada awal hantarannya itu, dia menuduh UiTM memaksa mahasiswanya dalam bidang pengajian Islam untuk mengajak rakan bukan Muslim supaya memeluk Islam dan memenuhi kuota kononnya sebagai syarat untuk bergraduasi.

Bagaimanapun, pengguna itu mengubah hantarannya dengan menukar kenyataan dengan mendakwa sedang menyiasat perkara tersebut.

“Tetapi beberapa sumber memaklumkan mahasiswa yang mengikuti program itu untuk memperhatikan pertukaran mahasiswa bumiputera (berkenaan), bukan untuk melaksanakannya sendiri,” dakwanya.

UiTM dalam kenyataan sama memandang serius kekeliruan yang timbul akibat isu komunikasi dan poster program.

“UiTM menegaskan program itu dijalankan dengan menghormati sensitiviti agama dan budaya semua peserta.

“UiTM kekal komited memastikan aktiviti kokurikulum memenuhi prinsip inklusiviti dan profesionalisme, serta menyumbang kepada pembangunan mahasiswa yang berdaya saing dan berintegriti tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya