Tol percuma: Keputusan boleh berubah, tunggu esok - Ahmad

Tol percuma: Keputusan boleh berubah, tunggu esok – Ahmad

Tol percuma
AHMAD Maslan ditemui pemberita selepas melawat Ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dekat Seksyen 17, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Keputusan itu boleh berubah dan kita tunggu esok.”

Demikian kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkaitan keputusan kerajaan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan bermula tahun ini.

Menurut beliau, perkara yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi itu merupakan keputusan Kabinet pada tahun lalu.

“Adakah keputusan itu boleh berubah? Boleh. Bilakah ia akan berubah atau dikekalkan? Esok. Kita tunggu keputusannya dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh kementerian nanti,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, hari ini.

Kelmarin, Alexander mengumumkan kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar. Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM31 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.

Pada tahun lalu, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Aidilfitri, Deepavali RM42.31 juta; Tahun Baru Cina (RM41.21 juta) dan RM38 juta pada Krismas lalu.

Semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri akan membincangkan langkah sesuai bagi mengatasi isu kesesakan pada musim perayaan dan mekanisme lain menggantikan pemberian tol percuma esok.

Mengulas lanjut, kata Ahmad, beliau mengesahkan kenyataan Fahmi berkaitan mesyuarat Kabinet tersebut.

“Mesyuarat itu selalunya pada setiap Rabu namun ia berlangsung esok kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru pulang dari luar negara hari ini. Esok merupakan mesyuarat terakhir Kabinet sebelum sambutan Tahun Baru Cina tahun ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN