GUA MUSANG: Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinet yang di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan perlu meletak jawatan.
Dakwanya, selepas dakwaan menyorok perintah titah Adendum oleh Yang Dipertuan Agong.
Ku Li berkata, tindakan itu dilihat jelas melanggar titah diraja dibawah perlembagaan dan ia bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.
Menurutnya, tindakan melibatkan etika dalam politik yang boleh membawa kepada pertukaran kerajaan dan memberi kesan terhadap ekonomi negara.
“Jadi kalau itu berlaku banyak perkara yang boleh ikut (berlaku), bukan saja pertukaran kerajaan. Tetapi kita harap tak akan berlaku kacau bilau dengan keadaan yang boleh membawa kecemasan kepada negara, ekonomi dan sebagainya.
“Jika mengikut amalan biasa, jika pihak terlibat menghormati perlembagaan, mereka akan meletak jawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu Papan di sini hari ini.
Ku Li bagaimanapun memberitahu, selepas perletakan jawatan itu Pilihan Raya boleh dilakukan jika mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong.
“Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan sekiranya dipohon dan mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong atau pun ada pemerintahan gantian untuk mengisi kekosongan yang bakal dikosongkan oleh orang yang didesak berhenti dan melanggar perlembagaan,” ujarnya-UTUSAN