Titah Adendum: Kerajaan mohon sekatan bersuara

Titah Adendum: Kerajaan mohon sekatan bersuara

SHAMSUL BOLHASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Kerajaan Malaysia akan memfailkan permohonan sekatan bersuara (gag order) bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media untuk memperkatakan mengenai Titah Adendum yang menyentuh mengenai penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di rumahnya sehingga habis hukuman penjara.

Perkara itu dinyatakan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika ditemui media pada prosiding pengurusan kes semakan kehakiman tersebut.

Ujarnya, permohonan tersebut akan dibuat kerana ia membabitkan isu sensitif.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz kemudian menetapkan 11 Mac ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib ketika ditemui menyatakan, permohonan larangan bersuara itu adalah terlewat kerana isu terbabit telah diperkatakan secara meluas termasuk di Mahkamah.

Tambahnya, perintah larangan itu adalah tidak wajar kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Selain itu, peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat turut memaklumkan media, beliau bersama dua lagi peguam iaitu, Datuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS dan Zulkifli Noordin akan memohon untuk menjadi peguam pemerhati dalam semakan kehakiman itu.

Ujarnya, mereka akan mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Dalam keputusan 2-1, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman itu selepas mendapati tiada mana-mana responden yang dinamakan dalam permohonan itu memfailkan sebarang afadavit menafikan kewujudan perintah tambahan itu.

Menurut permohonan semakannya, selain Jabatan Peguam Negara (AGC), Najib turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) sebagai responden pertama hingga kelima.

Turut dinamakan ialah Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden keenam dan ketujuh.

Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu.

Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mencabar perintah berhubung adendum itu atas alasan kesemua afidavit yang menyokong permohonan semakan itu adalah `dengar-cakap’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya