PETALING JAYA: Pengisytiharan aset oleh dua anak Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Tan Sri Mirzan Mahathir menunjukkan komitmen dalam mematuhi undang-undang dan memastikan integriti dalam pentadbiran swasta dan awam.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah itu juga disifatkan sebagai usaha ke arah meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, selaras dengan prinsip integriti yang diperjuangkan.
“MCW menyokong kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menyatakan kepuasan terhadap dokumen yang diberikan, namun kami menyeru agar siasatan lanjut dijalankan untuk memastikan sumber aset ini adalah sah, bebas daripada sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Azam berkata, Mirzan dan Mokhzani sudah selesai melakukan pengisytiharan harta mengikut masa yang ditetapkan.
Tindakan tersebut adalah bagi membantu siasatan berhubung Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Jais berkata, tindakan tersebut memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi dan individu yang mempunyai kedudukan berpengaruh, selain menyumbang kepada pembinaan ekosistem pentadbiran yang lebih telus.
“MCW menegaskan keperluan untuk memperluas kewajipan pengisytiharan aset kepada semua individu yang memegang jawatan awam, termasuk ahli keluarga mereka yang mungkin berpotensi memanfaatkan kedudukan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, pendedahan tersebut perlu disusuli dengan tindakan tegas sekiranya wujud pelanggaran undang-undang.
“MCW menyeru SPRM untuk menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa pengaruh politik bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“MCW percaya pendedahan seperti ini memberi peluang kepada rakyat untuk memahami kepentingan integriti dan akauntabiliti dalam kalangan pemimpin dan individu berpengaruh,” katanya.