‘Tiga tahun makan, minum, tidur dengan lalat’ - Utusan Malaysia

‘Tiga tahun makan, minum, tidur dengan lalat’

NASARUDIN Ngodio menunjukkan lalat di kertas perangkap lalat di rumahnya di Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat, Kuala Langat, hari ini. -FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Makan, minum dan tidur dengan lalat.

Itu kesengsaraan yang dihadapi lebih 500 penduduk Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat di sini, apabila mereka terpaksa hidup dengan ribuan lalat setiap hari sejak tiga tahun lalu.

Masalah didakwa berpunca daripada sebuah premis ternakan ayam berdekatan kawasan itu dan keadaan terbabit bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian malah merisikokan kesihatan mereka.

Penduduk, Nasarudin Ngodio, 45, berkata kediamannya paling teruk terjejas kerana terletak kurang 200 meter dari premis itu.

Dakwa bapa kepada empat anak itu, gangguan lalat semakin teruk sehingga dia terpaksa membeli ratusan pelekat perangkap lalat setiap bulan dan memasang kelambu untuk tidur.

“Ribuan lalat menghurungi satu rumah setiap hari tanpa mengira masa, siang atau malam, terutamanya ketika memasak.

“Selain tidak selesa, ramai penduduk termasuk anak saya mengalami cirit birit akibat keracunan makanan,” katanya ketika ditemui selepas membuat bantahan aman bersama 100 penduduk hari ini.

Tambah peladang itu, dia berharap pihak berwajib mengambil tindakan tegas bagi menangani isu berkenaan yang berlarutan sejak sekian lama.

Bagi peniaga makanan, Suzila Sarengat, 51, dia mengalami kerugian ketara kerana kedainya semakin kurang dikunjungi pelanggan.

“Pengunjung tidak jadi makan di kedai saya apabila melihat lalat di merata tempat. Walaupun saya sudah pasang perangkap lalat, namun itu tidak mengubah keadaan yang berlaku,” kata nenek kepada empat cucu itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung berkenaan, Saluah Mundagir berkata, serangan lalat makin menjadi-menjadi berikutan tambahan jumlah reban di premis tersebut.

“Kami tidak kisah sekiranya jumlah lalat itu kecil dengan pengurusan direban ayam berkenaan dilakukan mengikut prosedur sepatutnya, iaitu menjaga kebersihan. Namun, masalah lalat itu tidak berkurangan, malah semakin teruk sejak kebelakangan ini. Oleh hal yang demikian, kami mahu tindakan sewajarnya diambil segera,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya