PASIR SALAK: Penduduk Kampung Permatang Pelandok di sini sudah tidak tahan untuk hidup dalam banjir yang melanda rumah mereka sejak tiga bulan lalu akibat ban pecah yang menyebabkan air Sungai Kinta mengalir masuk ke kampung mereka.
Secara keseluruhan banjir di kampung itu menjejaskan kira-kira 25 buah rumah dan dalam tempoh itu, banjir hanya surut sekejap dan kejadian ban pecah tiga bulan lalu menyebabkan banjir kembali melanda kampung itu.
Ini menyebabkan mangsa yang terlibat terpaksa menumpang di rumah saudara mara mereka atau terus berada di rumah sendiri dengan menggunakan tingkat atas rumah.
Banjir juga menyebabkan tanaman yang diusahakan penduduk seperti kelapa sawit, buah-buahan dan pokok pisang rosak akibat lama terendam dalam air.
Ketua kampung, Kamalruzaman Kamalrudin berkata, pada mulanya kampung itu dilanda banjir akibat hujan dan air pasang besar namun banjir surut kemudiannya.
Menurutnya, namun pada bulan Oktober lalu berlaku kejadian ban pecah di kampung itu menyebabkan air Sungai Kinta melimpah masuk ke kawasan kampung itu.
Katanya, sejak itu banjir sukar untuk surut kerana aliran air Sungai Kinta yang berterusan masuk ke kampung mereka.
“Sudah tiga bulan kampung kami dilanda banjir termenung akibat ban pecah. Jika ban pecah tidak diperbaiki, kami akan terus tinggal dalam banjir.
“Sebelum ini keadaan banjir lagi teruk, melibatkan kira-kira 25 buah rumah namun kini hanya beberapa buah rumah masih dilanda banjir.
“Ini menjejaskan kehidupan dan kami berharap pihak yang berkenaan segera memperbaiki ban tebing sungai yang pecah supaya air sungai tidak lagi mengalir masuk ke kampung kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, ketika ban tebing sungai pecah pada bulan Oktober lalu, penduduk mengambil inisiatif dengan mengeluarkan kos RM4,000 dan tenaga sendiri memperbaiki ban yang pecah.-UTUSAN.