Tiada Titah Adendum, hanya surat kurang hukuman

Tiada Titah Adendum, hanya surat kurang hukuman

Saifuddin Nasution Ismail dalam Sidang Media Khas di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya di sini, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebaliknya menegaskan pihak penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkaitan pengurangan hukuman dan denda membabitkan Najib.

Bercakap dalam sidang akhbar khas di sini semalam, beliau turut menunjukkan salinan perintah Lembaga Pengampunan diterima kementerian tersebut pada 2 Februari 2024.

Ia susulan hasil mesyuarat lembaga tersebut pada 29 Januari 2024 yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Shah.

“Pada 2 Februari 2024, KDN khususnya Jabatan Penjara, kita menerima surat daripada BHEUU iaitu sekretariat dalam Lembaga Pengampunan dan dalam surat itu ada dua perkara, pertama disertakan minit mesyuarat dan kedua ialah perintah.

“Perintah yang diberikan kepada kami khususnya Jabatan Penjara hanya pengurangan tempoh pemenjaraan dan bayaran denda, tiada pula disebut tahanan dalam rumah,” jelasnya.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika berhujah mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan Najib bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mendedahkan Titah Adendum dan melaksanakannya berkata, Titah Adendum yang ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu wujud namun disembunyikan daripada umum.

Peguam kanan itu berkata, anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar mengetahui kewujudan dokumen titah bertarikh 29 Januari tahun lalu, pada 2 Disember tahun lalu melalui surat daripada istana di bawah arahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Saifuddin berkata, berdasarkan perintah yang yang diterima ketika itu, Najib diberi pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta dan sekiranya tidak dibayar, tempoh penjara ditambah selama setahun dengan tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.

“Perintah itu ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Za­li­ha Mustafa.

“Jadi surat yang Jabatan Penjara terima, tidak ada menyebut tahanan rumah dan sebagai jabatan yang melaksanakan perintah oleh Pengerusi Lembaga Pengampunan (Al-Sultan Abdullah), maka Jabatan Penjara harus amanah dalam melaksanakannya dan itulah yang kami laksanakan,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul langsung isu kononnya kementerian tersebut sengaja menyembunyikan Titah Adendum berkenaan.

“Justeru selain dua bentuk hukuman disebut ini, kami tidak terima pun dan memang tidak boleh dilaksanakan,” katany sambil menepis dakwaan tidak akur perintah diraja.

Ditanya adakah kementerian boleh melaksanakan perintah tahanan dalam rumah, beliau menjawab tidak boleh kerana ia jelas melanggar arahan yang ditetapkan.

Saifuddin berkata, minit mesyuarat lembaga itu mengandungi segala perbincangan dan keputusan yang tidak boleh dikongsi kepada umum dan dicatatkan begitu terperinci sebelum dihantar kepada kementeriannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya