PETALING JAYA: Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menggabungkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan projek Bandar Malaysia.
Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, langkah tersebut mungkin dapat menarik minat kerajaan Singapura atau konsortium lain untuk turut serta.
Katanya, jika tidak digabungkan dengan projek Bandar Malaysia, projek HSR sukar dilaksanakan kerana saiz pasarannya hanya melibatkan 14 juta penduduk dan pertimbangan pelaburan bakal menjadi cabaran utama.
“Siapa yang sanggup mengeluarkan RM100 bilion semata-mata untuk membangunkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tanpa subsidi atau sokongan daripada Kerajaan Perpaduan.
“Di China, laluan yang mencatat keuntungan menghubungkan empat bandar dengan populasi tertinggi, iaitu seramai 83.1 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Dominic berkata, Kerajaan Perpaduan kini sedang menanggung hutang negara lebih RM1.24 trilion walaupun ingin memberikan subsidi kerana mungkin tidak mampu melakukannya.
“Projek HSR adalah pelaburan jangka panjang yang memerlukan masa puluhan tahun untuk mencapai pulangan modal. Tanpa disertakan dengan projek pembangunan lain, ia akan menjadi lebih terhad.
“Projek kereta api berkelajuan tinggi London-Paris memerlukan 20 tahun untuk mula mencatat keuntungan manakala projek kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung di Indonesia mengalami kerugian dan dijangka mengambil masa 48 tahun untuk mencapai pulangan modal,” katanya.
Dominic berkata, di China, satu-satunya laluan kereta api berkelajuan tinggi yang mencatat keuntungan adalah Beijing-Shanghai dan Guangzhou-Shenzhen sedangkan laluan lain memerlukan subsidi kerajaan untuk menampung kos tinggi.
“Sekiranya ada konsortium yang sanggup melabur dalam HSR, persoalannya adalah berapa harga tiket tren?
“Tambang terlalu tinggi akan menghadkan bilangan penumpang, manakala tambang terlalu rendah tidak akan memberi manfaat ekonomi. Kecuali kerajaan bersedia memberikan subsidi untuk mengurangkan tambang dan meningkatkan jumlah penumpang,” katanya.
Beliau berkata, RM100 bilion adalah satu angka sangat besar dan kerajaan berdepan cabaran hebat sekiranya hanya berharap kepada sektor swasta untuk membiayai projek tersebut.
“Dalam keadaan kewangan kerajaan yang sempit, kerajaan perlu mengubah pendekatan untuk ‘menambah nilai’ kepada projek HSR. Jika tidak, sukar untuk melihat projek ini dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat,” katanya.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, projek HSR Kuala Lumpur-Singapura boleh dihidupkan semula sekiranya terdapat penyertaan penuh daripada sektor swasta dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta kerana peruntukan perbelanjaan kerajaan mempunyai hadnya dan ketika ini masih menunggu cadangan yang berpotensi.