Tiada sekatan buat mana-mana pelabur ke negeri pembangkang - Utusan Malaysia

Tiada sekatan buat mana-mana pelabur ke negeri pembangkang

AZMAN Abidin (tiga dari kiri) menyerahkan Sumbangan Ihsan Madani di Dewan Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kangar, Perlis, semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan tidak menyekat mana-mana pihak berhasrat melakukan pelaburan di negeri-negeri termasuk di bawah pembangkang.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, namun begitu, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama bagi memudah cara urusan pelaburan tersebut yang bakal membawa faedah buat rakyat.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia membantu khususnya dalam aspek pengesahan sebelum rundingan bersama dengan wakil tempatan.

“Sekarang ini momentum dan kestabilan kerajaan kita berada pada tahap baik untuk menaikkan semula negara kita, itulah harapan kita. Pelabur juga berebut nak datang negara kita, pertamanya mereka teruja bertemu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang popular, jadi kita kena sambut dan permudahkan mereka,” katanya selepas Majlis Sumbangan Ihsan Madani Parlimen Kangar di Dewan Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.

Terdahulu, Azman turut menyampaikan sumbangan berkenaan kepada golongan memerlukan di kawasan Parlimen Arau dan Parlimen Padang Besar yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Dewan Seri Melati, Beseri.

Mengulas mengenai program itu, Azman berkata, seramai 600 golongan memerlukan di negeri ini telah terpilih menerima sumbangan berkenaan membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM120,000.

“Sumbangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Pejabat Perdana Menteri ini diberikan kepada golongan memerlukan yang terpilih di kawasan Parlimen Kangar, Arau dan Padang Besar,” katanya.

Di samping itu, Azman berkata, pemberian sumbangan Ihsan Madani itu juga merupakan sebahagian daripada siri jelajah dilaksanakan Pejabat Perdana Menteri bagi mendekati rakyat di seluruh negara.

Katanya, langkah turun padang itu juga merupakan usaha bagi melihat keperluan dan masalah di setiap kawasan Parlimen secara lebih dekat.

“Ini jelajah Perdana Menteri sebenarnya, mana yang beliau boleh turun, beliau turun, kalau tak boleh turun, kita akan turun untuk tahu apa permasalahan kawasan tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya