KUALA SELANGOR: Tiada kes positif terbaharu direkodkan di Malaysia berkaitan virus Human Metapneumovirus (hMPV) iaitu salah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jangkitan itu bukan penyakit baharu dan tidak wajib dinotifikasikan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Berdasarkan data Makmal Kesihatan Awam dan makmal kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), kita ada menerima sampel berkaitan hMPV sebelum ini.
“Namun, kita tiada merekodkan sebarang kes positif baharu jangkitan itu setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi benteng kolam takungan air Taman Seri Alam,, hari ini.
Semalam, China kini dilaporkan berdepan ancaman virus hMPV yang semakin menular selepas lebih lima tahun kes pertama Covid-19 direkodkan sebelum ini. Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan seluruh dunia bertindak memberi amaran mengenai bahaya wabak itu dan langkah penjagaan kebersihan susulan lonjakan kes sejak bulan lalu.
Sebahagian besar kes jangkitan melibatkan golongan berusia bawah 14 tahun dan bergejala seperti batuk, demam, hidung tersumbat dan nafas berbunyi seperti wisel.
Jelas Dzulkefly, pihaknya dalam kesiapsiagaan tinggi bagi memantau jangkitan influenza di negara ini.
“KKM terutama menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) sedang berkomunikasi secara aktif dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan China (CDC) China juga mengesahkan tiada perisytiharan kecemasan berkaitan hMPV dibuat,” ujarnya.
Katanya lagi, masyarakat dinasihatkan tidak panik dan mengambil langkah berwaspada termasuk merancang perjalanan ke negara berisiko.
“Antara langkah yang perlu diamalkan adalah kerap mencuci tangan dan menutup mulut serta hidung ketika batuk atau bersin. Bagi individu yang berisiko tinggi dan bergejala, perlu memakai pelitup muka terutama ketika berada di tempat tertutup atau sesak,” jelasnya.
Malah, individu yang mengalami gejala berpanjangan atau teruk perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta. – UTUSAN