BACHOK: Seorang penternak dari Kampung Gong Nibong Hilir, di sini mendakwa kerugian ribuan ringgit selepas biri-biri peliharaannya ditemukan mati dipercayai diserang anjing liar.
Sudin Loman, 61, berkata, biri-biri yang dibeli menggunakan wang tabungan hasil jualan ubi kayu itu ditemukan mati di dalam kandang pada pukul 7 pagi Sabtu lalu.
“Selain biri-biri, haiwan peliharaan penduduk sekitar turut mati diserang anjing liar berkenaan. Anjing liar itu dipercayai datang dari pusat pelupusan sampah berdekatan penempatan penduduk.
“Penduduk menjadi lebih buntu kerana perangkap dipasang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Beris Lalang, Kamarizan Fauzi berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera kerana masalah ini turut mengancam keselamatan penduduk.
“Jangan selepas penduduk digigit anjing liar, baru tindakan yang berkesan hendak diambil. Isu ini perlu mendapat perhatian PBT, kerajaan negeri dan agensi terbabit,” katanya.-UTUSAN.