Tarian pelbagai kaum Pesta Muhibah bakal pecah rekod dunia

Tarian pelbagai kaum, etnik Pesta Muhibah bakal pecah rekod dunia

Pesta Muhibah
SARASWATHY Kandasami (empat, kanan) dan Nalini Rathakris (tengah) bergambar bersama tetamu-tetamu pada majlis An Evening of Victory: Honororing Achievement Together sempena kejayaan pementasan ‘Ayappa’ produksi Teater Tarian Klasik India pada acara kemuncak Panggung Seni Tradisional (PST) 2024, di Klang, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tarian selama empat hari, melibatkan semua kaum dan menerapkan ciri-ciri kebudayaan yang ada di Malaysia bakal memecahkan rekod dunia dalam Pesta Muhibah yang akan diadakan pada Ogos atau September tahun ini.

Persembahan tersebut dijangka dianjurkan di ibu kota atau Selangor untuk menggalakkan aktiviti pelancongan di negara ini sekali gus menunjukkan keunikan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia.

Naib Presiden, Pertubuhan Keseniaan dan Kebudayaan Sri Rathakrishnan Fine Arts (SRFA), Nalini Rathakris berkata, penganjuran pesta tersebut bakal menggabungkan persembahan kesemua kaum dan tidak terhad kepada tarian klasik India semata-mata.

“Kita juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Kesenian, Pelancongan dan Kebudayaan. Mungkin kita akan buat di Kuala Lumpur atau Selangor supaya pelancong mudah boleh datang.

“Program itu akan berlangsung selama lima hari dan untuk mendapat pengiktirafan dunia pula akan mengambil masa selama empat hari. Ia akan jadi satu festival yang dimeriahkan dengan gerai-gerai pakaian, makanan, kraf tangan yang berbilang kaum. Itu memang sangat menarik.

“Kita akan jemput pertubuhan-pertubuhan lain untuk mengambil bahagian dalam pengiktirafan rekod dunia itu,” katanya ketika ditemui pada majlis An Evening of Victory: Honororing Achievement Together sempena kejayaan pementasan ‘Ayappa’ produksi Teater Tarian Klasik India pada acara kemuncak Panggung Seni Tradisional (PST) 2024, malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kandasami memberitahu, pihaknya bersedia menyokong penganjuran aktiviti tersebut yang menggabungkan elemen keunikan kepelbagaian budaya di negara ini sebagai satu identiti.

“Di kementerian kita ada peruntukan untuk persatuan dan ia mesti ada elemen perpaduan dan keharmonian yang merupakan salah satu cara untuk menyatupadukan rakyat dengan cara saling menghormati budaya dan seni warga Malaysia dengan memberi satu perspektif keunikan tempatan, kita menyesuaikan mengikut citarasa tempatan.

“Macam batik, tak pernah buat sebelum ini, itu adalah cetusan idea semasa kita berbincang dan saya mencadangkan ia dijadikan salah satu elemen dalam Pesta Muhibah itu. Kami sentiasa menggalakkann semua usaha-usaha yang membawa satu identiti Malaysia pada semua tradisi-tradisi yang wujud di tanah air ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN