CAMERON HIGHLANDS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Cameron Highlands membantu menghantar 11 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Raja pukul 7.30 pagi tadi.
Pegawai APM Cameron Highlands, Leftenan (PA) Md. Hazli Hanifah Mohd. Hanafi berkata, bantuan itu susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Besar Kampung Raja, Simpang 3 Blue Valley dekat sini kira-kira pukul 2 pagi tadi.
“Seramai empat anggota APM Cameron Highlands membantu menghantar calon SPM ke SMK Kampung Raja berikutan jalan ditutup akibat tanah runtuh.
“Para pelajar ini datang dari kawasan Prima Kampung Raja, Blue Valley dan Lojing dibawa dengan menaiki sebuah trak ke sekolah,” katanya di sini hari ini.
Kejadian tanah runtuh itu dipercayai berpunca dari hujan lebat berterusan yang turun sejak petang semalam.
Akibat kejadian itu menyebabkan laluan tersebut ditutup kepada semua kenderaan namun kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan. – UTUSAN