Tambahbaik infrastruktur jalan raya Pahang - Al-Sultan Abdullah - Utusan Malaysia

Tambahbaik infrastruktur jalan raya Pahang – Al-Sultan Abdullah

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyantuni waris lima sekeluarga maut di Kampung Sepauk di Pekan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Infrastruktur jalan raya di Pahang perlu ditambah baik secara keseluruhannya demi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna terutama rakyat di negeri ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda menzahirkan keprihatinan terhadap aduan tentang kekurangan lampu di lebuh raya, terutama di selekoh-selekoh tertentu seperti di Lebuhraya Karak-Kuantan.

“Saya dimaklum ada lah suara yang saya dengar itu, kadangkala kekurangan lampu khususnya di selekoh di Lebuhraya Karak.

“Saya pun nak pergi periksalah dulu dan tak boleh kata di mana. Inilah antara komen-komen yang saya dengar dan mereka minta saya suarakan,” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas berkenan berangkat menyantuni keluarga mangsa kemalangan maut membabitkan lima sekeluarga di Kampung Sepauk di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan agar sentiasa berhati-hati khususnya ketika memandu dalam keadaan hujan dan gelap.

“Kita kena hati-hati memandu tengah malam… berhenti bila setengah jam berasa letih. Keluar kereta lakukan renggangan, minum kopi atau apa yang patut. Mudah-mudahan ia dapat menyegarkan kita,” titah baginda.

Sementara itu, waris mangsa, Semek Muda, 62, menzahirkan penghargaan terhadap kunjungan dan kurniaan Al-Sultan Abdullah.

“Terima kasih atas kunjungan dan kurniaan Tuanku. Tuanku berpesan supaya bersabar dan berserah segalanya kepada Allah SWT. Anak saya (Rahimah Awang Muda) seorang yang baik. Arwah baik dengan semua orang, apatah lagi dengan saya dan adik-beradiknya yang lain,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, lima sekeluarga maut dalam kejadian kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 65, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Pekan, Sabtu lalu.

Kejadian terbabit mengorbankan pemandu kereta Proton Wira Aeroback, Hamzah Zahari, 52, dan isterinya, Rahimah Awang Muda, 38, serta tiga anak mereka, Ainul Mardhiyah, 10; Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi, 4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN