ALOR SETAR: Sistem pengairan dan saliran kira-kira 10 peratus kawasan sawah di bawah kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) perlu dinaik taraf sekiranya mahu meningkatkan hasil padi pada setiap musim.
Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, walaupun jumlah itu tidak terlalu besar berbanding keseluruhan lebih 100,000 hektar kawasan tanaman padi namun ia boleh memberi impak positif apabila ditambah baik.
Menurutnya, kira-kira 90 peratus lagi kawasan memiliki sistem pengairan dan saliran yang teratur dan cekap walaupun ada sebahagian kecil berdepan isu tersumbat atau pembersihan.
“Selama ini timbul persoalan pengairan dan saliran MADA ini teruk sangatkah? Tetapi sebenarnya tidak cuma masalah ada sedikit dan cuma perlu tambah baik di kawasan tertentu seperti Alor Ali dan Alor Mengkuang di Pendang.
“Mungkin lebih 10 peratus kawasan bermasalah, cuma angka yang tepat saya tak pasti tetapi sebahagian besar berada dalam posisi menyokong untuk mengerjakan sawah.
“Oleh tu penambahbaikan itu perlu dilakukan bagi memastikan hasil purata lima metrik tan untuk setiap hektar seperti sekarang ini meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, hasil padi hanya akan kekal seperti sekarang sekiranya penambahbaikan itu tidak dilakukan.
“Sekiranya kita mahu hasil lima tan metrik macam sekarang, tidak payah buat apa-apa. Pengairan biar begitu sahaja, yang tersumbat tak perlu dibaiki dan tak dapat air pun biarkan sahaja,
“Tetapi kita tak mahu kekal di tahap itu, kita nak tingkatkan lagi hasil agar lebih tinggi maka sistem pengairan itu kalau mesti dalam keadaan sangat baik,” katanya.-UTUSAN.