Tahun Baharu Cina: Feri ke Langkawi kurang sambutan - Utusan Malaysia

Tahun Baharu Cina: Feri ke Langkawi kurang sambutan

PERMINTAAN tiket feri ke Pulau Langkawi dari terminal Kuala Kedah dan Kuala Perlis menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina minggu depan masih perlahan. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Permintaan feri ke Pulau Langkawi dari terminal Kuala Kedah dan Kuala Perlis di sini menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina minggu depan masih perlahan.

Pengurus Operasi Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line), Norhafiz Abdul Wahid berkata, jualan tiket termasuk secara dalam talian masih kurang memberangsangkan berbanding tahun lalu.

Katanya, berbanding tahun lalu, jualan tiket secara dalam talian sudah terjual sejak dua minggu sebelum perayaan Tahun Baharu Cina namun situasi berbeza kali ini.

Beliau menjangkakan perkembangan tersebut berkemungkinan disebabkan pelancong merancang percutian di saat akhir.

“Pada masa ini, kita menyediakan lima ke enam trip perjalanan feri ke Langkawi dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah untuk tarikh 28 sehingga 31 Januari.

“Kekerapan perjalanan itu juga dilihat masih kurang berbanding tahun lalu di mana sebanyak sepuluh trip perjalanan feri disediakan sehari malah tiket dalam talian juga laris terjual dua minggu sebelum ketibaan perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Norhafiz berkata, Ferry Line sememangnya bersedia menambah perkhidmatan feri khususnya pada musim perayaan atau percutian bergantung kepada jualan tiket.

Katanya, pembelian tiket pada saat akhir dibimbangi akan menimbulkan permasalahan bagi pihak operator untuk menyediakan trip tambahan lebih awal.

“Kita hanya boleh tambah trip perjalanan bergantung kepada jualan tiket dan sebolehnya pengguna disaran membuat pembelian awal bagi menge­lakkan situasi kelam kabut,” katanya.

Norhafiz berkata, Ferry Line juga akan bekerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia bagi melancarkan perjalanan per­khidmatan feri penumpang pa­da musim perayaan ini.

Katanya, operasi perkhidmatan feri juga akan mengikut keadaan keselamatan alur pelayaran bagi mengelakkan sebarang kejadian luar jangka.

“Alur pelayaran selamat bagi feri berlabuh di terminal Kuala Kedah dan Kuala Perlis adalah pada paras 1.4 meter ke atas,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya