KUANTAN: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang mencadangkan inisiatif penajaan makan tengah hari kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang dilaksanakan kerajaan negeri diperluas melibatkan pelajar peperiksaan lain.
Pengerusinya, Wan Muhammad Hafizzul Wan Ismail berkata, inisiatif murni itu boleh diperluas kepada calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Langkah ini memanfaatkan ramai pelajar yang menduduki peperiksaan penting selain memperkukuh lagi sokongan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan negeri.
“GPMS Pahang yakin bahawa inisiatif ini memberi impak positif kepada prestasi pelajar dan mencerminkan keprihatinan serta komitmen Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam memperkasa pendidikan generasi muda di negeri ini,” katanya di sini semalam.
Wan Muhammad Hafizzul berkata, GPMS Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri atas inisiatif menaja makan tengah hari kepada calon SPM Pahang 2024.
Menurutnya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar, khususnya mereka yang menghadapi peperiksaan besar seperti SPM, sentiasa diberi perhatian.
“Usaha ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa tetapi membantu pelajar kekal bertenaga dan fokus sepanjang tempoh peperiksaan.
“Program ini yang melibatkan pelajar sekolah menengah harian termasuk Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), dijadualkan bermula pada 2 Januari lalu. Inisiatif ini amat bermanfaat kepada pelajar yang berulang-alik dari rumah sepanjang peperiksaan, memastikan mereka mendapat nutrisi yang mencukupi untuk kekal bertenaga menghadapi sesi peperiksaan pagi dan petang.
“GPMS Pahang begitu menghargai komitmen kerajaan negeri dalam memperjuang kebajikan pelajar. Langkah ini menunjukkan keprihatinan Menteri Besar terhadap masa depan pendidikan generasi muda, khususnya dalam mempersiapkan mereka untuk cabaran masa depan,” katanya.-UTUSAN.