PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat syarat indeks jisim badan (BMI) bagi pengesahan pangkat ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat diterima baik anggota keselamatan itu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mendapati syarat BMI adalah cerminan kepada kecergasan seseorang anggota itu.
Beliau berkata, setiap pegawai serta anggota polis perlu memastikan mereka mempunyai BMI kurang daripada 28 bagi melayakkan disahkan kenaikan pangkat.
“BMI menjadi antara syarat itu kerana sebagai pasukan penguasa undang-undang terbesar, kercergasan dan disiplin adalah menjadi satu keutamaan polis di samping kepakaran profesional lain.
“Syarat BMI itu akan memberi persaingan positif kepada anggota dan pegawai polis untuk mencapai pengesahan kenaikan mereka,” katanya selepas meninjau persiapan penganjuran The Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan pengalaman, beliau sendiri pernah bertemu dengan anggota dan pegawai polis yang sanggup menaiki tangga untuk ke pejabat tanpa menggunakan lif bagi meningkatkan stamina.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, anggota polis kini perlu memenuhi syarat mempunyai BMI kurang daripada 28 bagi kenaikan pangkat.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa dalam siap siaga bagi memantau sebarang pencerobohan pendatang tanpa izin (PATI).
Menurutnya, pergerakan atau sebarang cubaan menceroboh perairan negara dikesan berlaku setiap hari tanpa sebarang faktor bantuan cuaca.
“Ia bukan soal faktor cuaca sama ada laut tenang atau bergelora sebaliknya faktor ‘push dan pull’ yang ada di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas jangkaan dibuat Maritim Malaydoa bahawa kemungkinan akan ada lagi bot membawa PATI Myanmar ke negara ini berikutan faktor siklon angin bermula Disember lalu hingga Mac depan. – UTUSAN