YAN: Kawasan peranginan Titi Hayun, di sini yang pernah menjadi tumpuan orang ramai bermandi manda suatu ketika dahulu semakin kering walaupun baru seminggu tanpa hujan.
Tinjauan ke kawasan itu mendapati air sungai di Titi Hayun yang pernah ditimpa bencana kepala air pada 2021 kering sekali gus mengecewakan pengunjung yang ingin beriadah sempena musim cuti sekolah ini.
Seorang penduduk kampung, Halim Ahmad, 56, memberitahu, perkara tersebut menjadi fenomena biasa sejak kejadian kepala air dahsyat itu.
“Titi Hayun sudah tidak macam dulu lagi. Begitulah keadaan airnya semakin kering kalau hujan tidak turun langsung dan kalau hujan pula arus jadi sangat deras. Kami orang kampung pun sering menasihatkan pengunjung sentiasa berjaga-jaga.
“Kalau lama tidak hujan dan musim kemarau yang dijangka berlaku bulan depan ini janganlah datang sebab air tak ada, cuma batu-batu sahaja,” katanya ketika ditemui di kawasan peranginan tersebut semalam.
Halim berkata, keadaan yang sama turut terjadi di kawasan peranginan berdekatan iaitu Air Terjun Seri Perigi dan Batu Hampar.
“Seri Perigi lagi teruk keadaan bila musim kemarau. Kejadian kepala air itu memang mengubah landskap kawasan peranginan di sini. Kasihan juga ada yang datang jauh-jauh tetapi air sungai kering,” katanya.
Seorang pengunjung, Fatimah Abu, 60, berkata, mereka sekeluarga mengunjungi kawasan peranginan itu untuk beriadah sempena musim cuti sekolah.
“Saya datang bawa cucu yang balik dari Kuala Lumpur sebab dia mahu mandi-manda. Memang dengar air sungai kering tapi tidak sangka macam ini, hanya nampak batu.
“Dulu air sungai ada tetapi sekarang banyak batu dan ada kolam-kolam kecil sahaja. Tetapi saya habiskan juga masa di sini bersama cucu sebab nak pergi tempat lain perlu modal besar,” katanya.