SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Elmina Lakeside Mall (ELM) dan Muzium Arca Luaran Elmina (EOSM) milik Sime Darby Property di Bandar Elmina, hari ini.
Keberangkatan baginda turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta anggota-anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Baginda kemudian diberikan penerangan mengenai projek yang sudah dan sedang dilakukan oleh Sime Darby Property oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican.
Azmir berkata, ELM dan EOSM yang terletak di bahagian luar premis itu merupakan pusat beli belah kedua dimiliki sepenuhnya oleh Sime Darby Property selepas KL East Mall di Setapak, Kuala Lumpur.
“Kami amat berbesar hati dan menzahirkan penghargaan kepada Sultan Sharafuddin kerana berkenan merasmikan pusat membeli belah dan muzium terbuka. ELM merupakan pusat membeli-belah kedua yang dimiliki sepenuhnya oleh Sime Darby Property
“Pusat beli-belah itu berkeluasan 17.2 ekar (6.96 hektar) dan beroperasi sejak Ogos tahun lalu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ELM dan EOSM di sini, hari ini.
Jelasnya, 99 peratus lot premis pusat beli belah itu sudah pun disewa oleh pelbagai perusahaan perniagaan dengan kehadiran lebih 180,000 pengunjung semasa pembukaannya.
Terdapat pelbagai kemudahan seperti laluan dan tempat letak basikal dan 16 stesen pengecas bagi kenderaan elektrik (EV).
“EOSM menjadi pelengkap kepada ELM dengan menyediakan ruang khusus untuk artis seni kreatif dalam dan luar negara mempamerkan hasil seni mereka.
“Kami percaya ELM dan EOSM bukan sahaja mengangkat Bandar Elmina melangkaui pusat kediaman dan komersial, malah menjadi destinasi pengunjung untuk melihat seni dan budaya dalam negara ini,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut meluangkan masa lebih dua jam melawat ELM dan EOSM sebelum berangkat pulang. – UTUSAN