KUALA SELANGOR: Stadium Merdeka dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) antara lokasi dicadangkan bagi acara perasmian atau pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) 2026 oleh Selangor sebagai tuan rumah penganjurannya.
Malah, penganjuran kejohanan tersebut juga bakal melibatkan kesemua sembilan daerah mengikut kemampuan dan infrastruktur sukan yang ada bagi memastikan manfaatnya turut dinikmati masyarakat secara keseluruhan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, penetapan lokasi utama serta acara-acara sukan lain masih belum diputuskan, sebaliknya akan dibuat selepas pembentukan dan penyelarasan jawatankuasa sekretariat penganjuran dibentuk pada minggu depan.
Menurutnya, Sukma 2026 di negeri ini juga akan disesuaikan dengan identiti Selangor dari segi kerencamannya yang lebih pelbagai.
“Di Selangor hampir semua kemudahan sukan kita ada, cuma perlu tambah baik dan naik taraf mana-mana infrastruktur sukan yang akan digunakan dalam Sukma nanti. Kita tidak ingin tertumpu kepada konsep lama, bila orang ingat penganjuran pembukaan kejohanan mesti dibuat di stadium.
“Kalau kita tengok Sukan Olimpik Paris 2024, perasmiannya dibuat di sungai, kontinjen diarak dalam feri. Jadi, kita di Selangor pun ada banyak alternatif dan tempat. Kita akan putuskan nanti dari segi konsep sebab hendak sesuaikan dengan konteks Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jelajah Belia Madani Selangor, hari ini.
Tambah Mohd. Najwan , pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara dan negeri-negeri berkenaan acara-acara termasuk sukan baharu seperti Pickle Ball.
Bagaimanapun, beliau menegaskan untuk memberi keutamaan kepada sukan-sukan teras dan berprestasi tinggi seperti olahraga, acara air dan sebagainya bagi mengembangkan bakat-bakat atlet dalam kejohanan tersebut.
“Kita kena bincang dengan semua negeri dan Majlis Sukan Negara sebab ada banyak, macam baru-baru ini Menteri Besar umum untuk galakkan sukan Pickle Ball. Peminat Pickle Ball pun minta sukan itu dimasukkan dalam Sukma.
“Kita kena lihat dari semua aspek, kalau di Selangor sahaja ada pasukan, tetapi negeri lain tiada pun tak adil juga. Cuma di Sukma Selangor, kita hendak fokuskan kepada sukan teras yang sebelum ini menjadi asas Sukma, maksudnya sukan berprestasi tinggi yang kita hendak kembangkan bakat atlet bukan hanya sukan-sukan popular,” jelasnya. – UTUSAN