ARAU: Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sifatkan UMNO penakut apabila tidak meneruskan perhimpunan solidariti buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, keputusan UMNO tarik ‘handbrake’ dengan tidak menyertai perhimpunan tersebut juga sangat memalukan sehingga sanggup tidak membela bekas pemimpin mereka itu.
“UMNO penakut, cakap saja besar tapi takut pada DAP. Bekas pemimpin mereka sendiri (Najib) pun tak nak bela kerana DAP tak setuju.
“Akhirnya terpaksa akur tarik ‘handbrake’. Sangat memalukan,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Karnival Arau Sejahtera di Dewan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Simpang Empat, di sini, semalam.
Mohd Amar berkata, Pas kekal dengan pendirian menyertai perhimpunan tersebut memandangkan isu adendum masih belum mendapat jawapan jelas daripada kerajaan.
“Ini adalah isu adendum sahaja, bukan kita nak bela kes mahkamah SRC (SRC International Sdn. Bhd) dan lain-lain, kerana perkara itu mahkamah yang akan buat keputusan.
“Isunya ialah kerajaan berdolak dalih dalam isu adendum ini. Soalan ditanya di Parlimen dan luar tapi tak ada jawapan jelas sama ada wujud ataupun tidak,” katanya.
Mohd Amar berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat banyak melanggar janji mereka antaranya membabitkan hak kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat.
Katanya, Anwar sebelum ini juga pernah mengerah rakyat untuk berhimpun di Istana Kehakiman dan mengingatkan agar tidak menjadi perkakas ahli politik.
“Tapi sekarang ini apa yang dia cakap itu jadi pada zaman dia dan ia satu yang mendukacitakan. Kalau dulu dia boleh kerah rakyat untuk berhimpun bagi membela diri dia, kenapa dia tak boleh benarkan rakyat berhimpun untuk Najib,” katanya.-UTUSAN