Sistem Waktu Bekerja Berlainan kurangkan ‘beban’ doktor

Sistem Waktu Bekerja Berlainan kurangkan ‘beban’ doktor

DZULKEFLY Ahmad bersama Timbalannya, Datuk Lukanisman Awang Sauni dalam sidang akhbar khas di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sis­tem Waktu Bekerja Berlainan dalam sektor kesihatan awam mampu mengurangkan ‘beban’ yang ditanggung oleh pe­gawai dan pakar perubatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Se­ri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sistem tersebut adalah cada­ngan perubahan aturan jadual kerja yang dibuat sejak 22 Januari 2024 di beberapa jabatan di fasiliti kesihatan terpilih dengan melibatkan pegawai dan pakar perubatan secara bersasar.

Kata beliau, sistem itu merupakan sistem ketiga yang akan berjalan selari dengan sistem atas panggilan sedia ada dan sistem syif bagi pegawai serta pakar perubatan.

Jelasnya, sistem tersebut dicadangkan untuk mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan, selain meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

“Pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan menyasarkan untuk mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan yang terlibat dan memastikan mana-mana pegawai tidak bertugas melebihi 24 jam.

“Ia juga bagi mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu iaitu tiga kali atas panggilan seminggu kepada maksimum 72 jam seminggu,” katanya ketika sidang media khas di sini, semalam.

Terdahulu, tular garis panduan mengenai sistem Waktu Bekerja Berlainan hingga men­cetus­kan kebimbangan da­lam ka­­langan doktor awam.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa sistem itu yang bakal dikuatkuasakan kepada pekerja penjagaan kesihatan awam ditangguhkan.

Beliau mendakwa sekiranya sistem tersebut dikuatkuasakan, lebih ramai doktor akan keluar daripada terus berkhidmat di hospital kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, surat yang tular tersebut merupakan garis panduan sebagai persediaan sahaja, bukan arahan pelaksanaan.

“Surat yang tersebar itu adalah garis panduan, ia supaya setiap jabatan itu boleh bersedia untuk melaksanakan. Daripada segi arahan, hanya dua orang sahaja iaitu Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah.

“Kedua-duanya masih tidak menandatangani (surat tersebut) jadi memang tidak akan dilaksanakan lagi.

“Kita tengok permukiman nanti yang akan membincangkan mengenai sistem tersebut, maksudnya masih belum diku­atkuasakan kerana dalam per­bin­cangan, garis panduan sahaja dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu akan diputuskan Kementerian Kesihatan selepas maklum balas mengenainya diperoleh dalam sesi pemukiman pimpinan tertinggi kementerian itu, yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya