PETALING JAYA: Sebanyak 48 kertas siasatan perlu dikendalikan pegawai penyiasat jenayah komersial secara purata dalam tempoh setahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu berdasarkan nisbah jumlah kertas siasatan yang dibuka tahun lalu iaitu sebanyak 41,701.
Menurutnya, angka itu jika dibandingkan dengan jumlah pegawai penyiasat bagi JSJK iaitu seramai 875 sekali gus menjadikan nisbah purata jumlah pegawai kepada kes, iaitu 1:48.
Jelasnya, perkara itu adalah satu cabaran berat yang perlu dihadapi JSJK dalam usaha mendepani kerumitan mencegah jenayah komersial terutama dengan perkembangan teknologi yang semakin kompleks.
“Berdasarkan rekod, kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan setiap tahun, malah jika dibandingkan jumlah kes bagi tahun 2024, ia meningkat sebanyak 53.2 peratus berbanding lima tahun lalu.
“Peningkatan jumlah kes ini memberikan cabaran yang besar kepada JSJK kerana sepanjang lima tahun kebelakangan ini, jumlah pegawai penyiasat JSJK tetap sama.
“Jumlah 48 kertas siasatan bagi satu tahun bukanlah satu angka yang ideal bagi seorang pegawai penyiasat, ini tidak termasuk kes-kes tahun sebelumnya dan penugasan lain yang perlu dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, JSJK berpendapat bahawa penambahan keanggotaan secara intensif perlu dilaksanakan bagi tahun 2025 bagi mengimbangi peningkatan kes-kes jenayah komersial.
Katanya, ketika ini beliau tidak dapat memberikan satu angka yang ideal berhubung jumlah anggota tambahan diperlukan pihaknya, namun apa yang pasti situasi semasa amat mencabar.
Untuk rekod nilai kerugian jenayah komersial sepanjang tahun 2024 mencecah RM3.11 bilion, manakala 2023 (RM2.11 bilion), 2022 (RM1.73 bilion), 2021 (RM2.20 bilion) dan 2020 (RM2.06 bilion).