Selangor tiada kuasa batal notis usir ternakan

Selangor tiada kuasa batal notis usir ternakan

Lembu berkeliaran
RIZAM Ismail menunjukkan surat arahan berkaitan isu lembu berkeliaran pada sidang akhbar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri mendakwa tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Sime Darby (SD) Guthrie Berhad membatalkan notis pengusiran ternakan kepada penternak yang dikeluarkan mereka baru-baru ini.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, keputusan itu merupakan polisi dalaman oleh syarikat berkenaan yang merupakan pemilik tanah ladang itu berikutan.

“Notis itu mengarahkan penternak memindahkan haiwan ternakan mereka selewat-lewatnya pada 31 Januari ini.

“Polisi berkenaan bukan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri,” katanya hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kira-kira 176 penternak meminta kerajaan negeri menyediakan tempat baharu bagi meneruskan perusahaan ternakan lembu mereka apabila menerima notis pengusiran tersebut.

Mereka mendakwa kesal dengan notis itu yang disifatkan sebagai tergesa-gesa dengan memberi tarikh akhir pemindahan pada 31 Januari ini.

Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional, R. Vijayagandi, 49, berkata, para penternak terutama di Sabak Bernam dan Kuala Selangor terkejut apabila diarahkan berpindah walaupun sudah mengusahakannya sejak 50 tahun lalu di kawasan berkenaan.

Justeru, penternak menyeru kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membatalkan notis yang dikeluarkan.

Jelas Rizam, kerajaan Selangor mencadangkan tiga tapak tanah bagi membolehkan penternak yang menerima notis itu meneruskan aktiviti penternakan.

“Cadangan tapak itu melibatkan tanah warta Jabatan Veterinar Sabak Bernam di Beting Kepah, Sungai Apong, Bagan Nakhoda Omar; tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Sungai Panjang atau tanah warta Pentadbir Tanah Sabak Bernam di Pekan Bagan Terap.

“Penternakan yang dibenarkan di tapak-tapak itu perlu dijalankan secara feedlot dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri komited memastikan kesejahteraan semua pihak terlibat dalam isu itu termasuk penternak lembu, syarikat ladang dan komuniti setempat.

“Keutamaan kita mahu menjamin keselamatan awam, melindungi kepentingan penduduk dan memberi peluang kepada penternak meneruskan aktiviti mereka di lokasi sesuai,” katanya.

Pada 18 Disember lalu, pihak Ladang SD Guthrie diarah supaya segera memindah dan mengosongkan lebih 1,000 lembu milik penternak yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan maut.

Isu itu dianggap serius berikutan melibatkan keselamatan penduduk setempat terutama beberapa kes kemalangan sehingga meragut nyawa yang dilaporkan sebelum ini.

Pada 23 Oktober tahun lalu, Allahyarham Muhammad Zaidi Muhammad Salihan, 31, maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di sekitar daerah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya