KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pusat Jagaan termasuk taman asuhan kanak-kanak (taska) bagi memudah cara pendaftaran dan permohonan kebenaran operasinya.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, terdapat dua perkara dilakukan iaitu penubuhan jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya selain menambah baik garis panduan pembukaan atau pendaftaran pusat jagaan termasuk juga warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
“Garis panduan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi perkara utama dalam memudahkan dan akan diselaraskan di setiap PBT. Itu yang kita lakukan dengan jawatankuasa itu, ada 12 pbt di Selangor, namun mempunyai syarat kelulusan berbeza.
“Jadi kita hendak mudahkan dan seragamkan kerana mungkin kehendak PBT berbeza ikut demografi tempatan. Daripada 12 PBT, kita dapati Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPK) kehadapan untuk garis panduan seperti pusat jagaan ibu bersalin dan melihat isu-isu yang timbul. Dengan penyeragaman, memudahkan cara pengusaha pusat jagaan mendaftar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Cawangan BS Freshmart, hari ini.
Terdahulu, ibu bapa yang bekerja di negeri ini dilapor berdepan kesukaran untuk menempatkan anak-anak mereka di pusat jagaan sehingga terpaksa menyerahkan kepada taska berdekatan yang tidak berdaftar.
Hal berkenaan menyebabkan risiko tiada pemantauan daripada pihak berkuasa terhadap operasi taska dan berlaku insiden kematian seorang bayi dekat sebuah pusat jagaan di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, awal bulan ini.
Anfaal turut memaklumkan, kerajaan negeri melancarkan Geran Pusat Jagaan (GPJ) dengan dana geran bernilai RM400, 000 pada Selasa lalu.
“Kita mendapat sambutan dari segi permohonan dengan setiap pengusaha taska atau pusat jagaan sama ada syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau organisasi bukan kerajaan (NGO) boleh memohon maksimum sebanyak RM5, 000 bagi satu operator dan geran
“Jadi, kita memastikan sama ada pemutihan atau operator ini mempercepatkan pendaftaran dan mereka boleh layar laman sesawang gpj.selangkah.my,” ujarnya. – UTUSAN