PETALING JAYA: Sekolah Patriotik UMNO bakal melahirkan pemimpin masa depan yang bukan hanya memahami strategi dan selok-belok politik malah menjiwai nilai perjuangan parti itu yang sebenar.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, institusi itu bukan sekadar wadah pembelajaran politik tetapi medan untuk membentuk roh dan jiwa perjuangan dalam kalangan generasi muda.
Justeru, kata beliau, 50 peserta perintis sudah dipilih untuk mengikuti program tersebut sebagai permulaan.
“Kita mahu membina kepimpinan yang bukan sekadar mahir berpidato atau menguasai teori, tetapi benar-benar mempunyai daya juang, daya tahan, dan daya saing yang tinggi tanpa mengabaikan kesetiaan kepada agama, bangsa, dan negara.
“Mereka akan melalui modul-modul latihan yang dirangka secara holistik, merangkumi aspek pemikiran kritis, kepimpinan strategik, dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan UMNO.
“Modul ini akan terus dikembangkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya dalam membentuk generasi pemimpin yang cerdas, berani, dan berkeyakinan tinggi untuk menggalas tanggungjawab besar dalam meneruskan obor perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan.
Pada 27 Oktober tahun lalu, Ahmad Zahid memaklumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai sekolah politik yang ditubuhkan Barisan Nasional (BN) dibawah biro latihan dan perkaderan UMNO Malaysia.
Beliau juga memaklumkan sekolah berkenaan berperanan melatih generasi muda yang dilihat menjadi potensi untuk diketengahkan sebagai pelapis pemimpin parti termasuk pemilihan bakal calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, usaha itu adalah satu langkah strategik dalam memastikan UMNO terus relevan dan kekal sebagai tunjang politik negara.
“Anak muda hari ini tidak boleh hanya menjadi penonton dalam arena politik. Mereka perlu bangkit sebagai pemikir, perancang, dan pelaksana yang mampu mencorakkan masa depan Malaysia.
“Melalui Sekolah Patriotik UMNO, kita membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda untuk menyumbang idea, berdiskusi secara terbuka, serta menjalani latihan kepimpinan yang akan memperkasa keupayaan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.
“Saya yakin dengan kesungguhan, disiplin, dan semangat perjuangan yang tinggi, Sekolah Patriotik UMNO akan menjadi batu asas kepada kebangkitan generasi baharu yang akan membawa parti ini ke mercu kejayaan yang lebih gemilang,” katanya.