PETALING JAYA: Kerajaan perlu menguatkuasakan larangan kepada semua parti politik mendapatkan dana luar negara, sekali gus mengelak campur tangan pihak luar dalam sistem politik Malaysia.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu perlu menjadi antara kandungan draf Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendanaan Politik demi menjamin ketelusan kepada semua pihak.
Katanya, jika ia berjaya dilaksanakan, beliau percaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan menjadi lebih bersih dan telus berbanding pilihan raya sebelum ini.
“Dalam hal ini Pas sangat bersetuju (pelaksanaan RUU Pendanaan Politik), tetapi kerajaan perlu menyekat dana asing kepada parti politik agar tiada campur tangan asing dalam sistem politik negara.
“Sekiranya kerajaan ingin membentangkan RUU ini, ia sebaiknya dibawa kepada Jawatanakuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi oleh setiap parti politik sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan Kerajaan perlu meneruskan semula RUU bagi Akta Pendanaan politik bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan pada PRU-16.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kerajaan masih mempunyai masa tidak kurang dari tempoh dua tahun untuk dibentangkan dan diluluskan di Parlimen sebelum ia dilaksanakan.
Katanya, dengan pelaksanaan RUU tersebut, maka tiada alasan lagi untuk semua parti politik tidak mendedahkan sumber dana yang diperoleh bagi menjamin ketelusan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut menjelaskan yang Pas tiada sebarang masalah dengan pelaksanaan RUU tersebut, namun yakin perkara itu tidak akan dilaksanakan.
“Pas tiada masalah kerana semua orang tahu sumber kewangan Pas dari poket ahli Pas. Kita bersetuju agar Akta Pendanaan Politik diwujudkan. Banyak negara memperuntukkan dana politik kepada setiap parti berdaftar, tatapi saya yakin kerajaan sekarang tidak akan dilaksanakan kerana peruntukan Ahli Parlimen pembangkang sampai sekarang satu sen pun tidak akan diberi.
“Kita boleh harap keadilan kepada kerajaan yang adil, tetapi ia tidak berlaku pada kerajaan yang ada hari ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Young Syefura Othman turut menyifatkan RUU Pendanaan Politik mampu memberi saingan politik yang sihat selaras dengan agenda reformasi Kerajaan Madani.
“Saya merasakan ia sesuatu yang wajar dilakukan. Selain mewajibkan pengisytiharan harta, dan perbelanjaan kempen pilihanraya, mendedahkan sumber dana parti juga sesuatu yang progresif,” ujarnya.-UTUSAN.