PUTRAJAYA: Semua projek pembangunan yang melibatkan kepentingan rakyat yang mendesak seperti projek tebatan banjir dan program membasmi kemiskinan tegar harus disegerakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui projek sedemikian mengambil unjuran yang lama mengikut jadual perancangan, namun ia tetap perlu disegerakan.
“Kalau banjir mengorbankan nyawa, harta, jangan tunggu hingga enam tahun. Kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain, kita jimatkan. Kalau perlu kita pinjam, kita pinjam.
“Semua program yang mendesak seperti kemiskinan tegar, tebatan banjir harus disegerakan dan tidak mengikut unjuran lima atau enam tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini semalam.
Perdana Menteri bagaimanapun memahami bahawa projek tebatan banjir sudah terangkum dalam rancangan lima tahun pembangunan kerajaan (Rancangan Malaysia), namun, perancangan itu harus dirombak semula.
“Jadi hal-hal ini harus diteliti oleh semua ketua setiausaha kementerian (KSU),” katanya.
Katanya, keupayaan sesebuah negeri tidak perlu dibangkitkan dan menjadi alasan, malah beliau mahu kerja itu diselesaikan segera.
“Kita tengok skim banjir untuk tebatan banjir (sebagai contoh) fasa 1 Rantau Panjang, Kelantan sudah siap, fasa kedua tahun 2026, fasa ketiga 2029, jadi orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap,” katanya.
Pada 5 Disember lalu, Anwar pada sesi di Dewan Rakyat memaklumkan, projek tebatan banjir yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk di Pantai Timur masih mengikut jadual walaupun ada antaranya dibatalkan pada 2022 sebelum ditender semula.
Perdana Menteri juga mahu penjawat awam muda di pelbagai peringkat diberikan latihan bermula tahun ini bagi meningkatkan kecekapan dalam tadbir urus perkhidmatan awam.
“Kerajaan juga sanggup berbelanja dalam menyediakan peruntukan tambahan bagi memastikan penjawat awam berkenaan menjalani latihan sewajarnya terutama membabitkan bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, peralihan tenaga, pertanian dan teknikal.
“Saya sudah minta kalau perlu RM100 juta, RM200 juta (peruntukan) tambahan untuk memberikan latihan intensif ini,” katanya.
Katanya, latihan yang bakal dijalani tidak semestinya sekadar di institut akademik dalam negara, malah di luar negara termasuk di pusat pengajian swasta atau pusat kecemerlangan mana-mana syarikat.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan agar KSU dan ketua pengarah jabatan tidak sekadar meneruskan tugas sedia ada sebaliknya mencari kaedah baharu lebih inovatif dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Katanya, perubahan yang signifikan hanya dapat dicapai melalui komitmen terhadap tugas dan sentiasa kekal berusaha memperbaiki kelemahan.
“Mesti cari kaedah baharu, tidak hanya terlalu berpuas hati dengan apa yang dicapai dan apakah kebaikan (contoh yang harus dipelajari) itu boleh melonjak kekuatan kita sebagai suatu negara besar yang terkenal,” katanya. – UTUSAN