ARAU: Terpancar wajah kesayuan dalam kalangan murid tahun enam yang bakal meninggalkan alam sekolah rendah saat bersalaman dan berpelukan bersama rakan serta guru-guru sebelum melangkah keluar dari pintu pagar Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini.
Sesi persekolahan penggal ketiga 2024/2025 berakhir semalam di negeri ini dan mereka bakal memulakan dunia baharu di sekolah menengah yang lebih mencabar.
Sebelum itu, kanak- kanak berkenaan juga berkumpul dalam satu majlis bersama guru-guru di akhir sesi persekolahan tersebut.
Nur Auni Nasuha Mohd. Rusidan berkata, hari terakhir persekolahan sangat menyedihkan terpaksa berpisah dengan rakan-rakan yang selepas ini bakal membawa haluan masing-masing di sekolah menengah.
Katanya, sepanjang enam tahun sejak daripada darjah satu bersama rakan-rakan pelbagai pengalaman manis dan pahit dilalui yang meninggalkan 1,001 kenangan kepada mereka.
Dia yang bakal memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau selepas ini mengakui berdebar memasuki alam sekolah menengah yang sudah pastinya lebih mencabar.
“Sedih hendak pisah dengan rakan-rakan dan guru. Banyak kenangan bersama, susah senang belajar dan masalah juga dikongsi bersama. Insya-Allah kalau ada rezeki dapat jumpa kembali kawan-kawan di sekolah menengah.
“Pelbagai kenangan manis dan pahit sepanjang di alam sekolah rendah selama enam tahun akan mematangkan kami apabila berada di sekolah menengah selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Alsie Cathrinie Kenny pula berkata, sememangnya sedih untuk berpisah dengan rakan-rakan selepas enam tahun bersama.
Namun katanya, mereka perlu memandang ke hadapan dalam menghadapi cabaran baharu di peringkat sekolah menengah selepas ini yang semakin mencabar berbanding sekolah rendah.
“Sesi persekolahan sudah berakhir dan sebelum pulang ke rumah, saya berkesempatan bertemu rakan-rakan dan guru untuk meminta maaf dan bersalam-salaman dengan mereka. Guru-guru di sini banyak membimbing saya dan jasa mereka tidak akan kami lupakan.
“Sama seperti rakan lain, saya juga tidak dapat menahan sebak terpaksa berpisah dengan rakan-rakan yang sudah pastinya susah untuk bertemu apabila berlainan sekolah selepas ini,” katanya.-UTUSAN