KUANTAN: “Saya bukan ‘monster’, saya sudah banyak ‘berkorban’ untuk keluarga tetapi saya tak verbal. Apa saya lakukan untuk pertahan kebajikan anak-anak”.
Demikian tegas Abd. Zackery Ghouse Abd. Ghani, 46, suami pelakon dan bekas peragawati, Zahnita Wilson.
Beliau berkata, selepas isu membabitkan dirinya dan Zahnita timbul, pelbagai tohmahan dilemparkan netizen terhadapnya termasuk digelar ‘raksasa’.
“Saya dapati ramai rakyat anggap saya ganas, ‘monster’. Saya ayah, saya pertahan kebajikan anak-anak. Saya banyak berkorban untuk keluarga ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Mahkota Height di sini hari ini.
Pada 5 Disember lalu, Abd. Zackery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan di sini atas pertuduhan mencederakan bekas pelakon itu diikuti pada 9 Disember Mahkamah Majistret membenarkan permohonannya untuk mendapat perintah perlindungan interim (IPO).
Pada 6 Disember tahun lalu Mahkamah Tinggi Syariah Pahang membenarkan hak jagaan sementara exparte diberikan kepada Zahnita selepas beliau memohon kepada mahkamah mendapatkan jagaan anaknya.
Mengulas lanjut, Abd. Zackery berkata, pada masa ini, dia tidak dapat tidur lena mengenangkan anak bongsunya berusia empat tahun yang mengalami autisme, kini tinggal bersama Zahnita.
Jelasnya, dia risau kejadian anaknya yang pernah ‘hilang’ sebelum ditemukan semula apabila keluar rumah seorang diri berulang. – UTUSAN