KUANTAN: Tidak ingat lesen memandu tamat tempoh dan tidak perasan alasan banyak digunakan penunggang motosikal yang diperiksa dalam Ops Khas Motosikal 2024 di bandar Kuantan di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Pahang (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya tetap mengeluarkan notis saman kerana mereka didapati membiarkan lesen memandu tamat tempoh dalam masa yang lama.
“Terdapat pemuda yang diperiksa, lesen memandunya tamat sudah lama pada Mei dan sekarang ini Disember, maksudnya sudah tujuh bulan, lesen ini ikut tarikh lahir kita kalau tujuh bulan, tidak dapat untuk diberikan keringanan.
“Dalam tempoh tiga jam setengah kita mengeluarkan 555 notis saman, ini agak tinggi dan membimbangkan apatah lagi yang tingginya kesalahan ketiadaan atau tamat tempoh lesen memandu dan juga cukai jalan tamat tempoh,” katanya ketika ditemui dalam operasi di Jalan Tanah Putih di sini malam semalam.
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, bagi kesalahan tiada lesen memandu individu terbabit perlu membayar kompaun manakala bagi kesalahan tiada cukai jalan dan insurans individu perlu ke mahkamah dan kenderaan akan disita.
Menurutnya, dalam operasi melibatkan 184 penguatkuasa termasuk 169 anggota JPJ, lapan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuantan dan tujuh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, pihaknya mengambil tindakan terhadap 388 daripada 2,741 kenderaan diperiksa.
Katanya, daripada jumlah itu, pihaknya mengeluarkan 555 notis saman melibatkan pelbagai kesalahan dengan 131 notis kesalahan melibatkan lesen memandu dan 103 kesalahan melibatkan cukai jalan tamat tempoh.
“JSPT turut mengeluarkan 21 saman dan kenderaan disita untuk malam ini sahaja adalah sebanyak 25 kenderaan iaitu 24 motosikal dan sebuah kereta manakala pihak AADK telah melaksanakan 26 ujian air kencing dan tiada positif,” ujarnya. – UTUSAN